MANGSA banjir di tiga negeri yang terjejas kini semakin berkurangan dengan jumlah direkodkan setakat 8 pagi hari ini adalah seramai 3,574 mangsa daripada 989 keluarga.
Kesemua mangsa ditempatkan di 44 pusat pemindahan sementara (PPS) di Pahang, Sabah dan Sarawak.
Pahang merekodkan seramai 2,558 mangsa banjir daripada 698 keluarga ditempatkan di 29 pusat PPS di tiga daerah iaitu Kuantan, Pekan dan Maran.
Berbanding semalam, portal info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan 2,853 mangsa banjir daripada 795 keluarga berada di 31 PPS di negeri berkenaan.
Pekan mencatat jumlah paling ramai mangsa banjir iaitu 1,632 orang daripada 476 keluarga; diikuti Kuantan seramai 715 mangsa (157 keluarga) dan Maran dengan 211 mangsa (65 keluarga).
Di Sabah seramai 447 mangsa daripada 125 keluarga dipindahkan di 11 PPS membabitkan kawasan Kota Kinabalu, Papar, Beluran, Tuaran, Beaufort, Putatan, Pitas dan Tamparuli setakat 8.30 pagi tadi.
Sarawak pula seramai 569 mangsa daripada 166 mangsa dipindahkan di lima PPS membabitkan daerah Serbian.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran angin kencang timur laut melebihi 60 kilometer sejam dengan ombak setinggi melebihi 4.5 meter dijangka berlaku di perairan Pahang hingga Rabu ini. – Malaysiapost

