Nurul Huda Abhar
KETUA Bersatu Bahagian Sepang, Datuk Suhaimi Ghazali yang disahkan positif Covid-19 pada Sabtu lalu mendapat perhatian hari ini apabila tular gambarnya menghadiri satu Program Gunting Rambut Percuma di Bagan Lalang.
Gambar di sekitar program tersebut dimuat naik di Facebook (FB) menjadi perbualan apabila warganet mengecam program berkenaan yang turut dihadiri ramai kanak-kanak.
Beberapa gambar yang dimuat naik juga menunjukkan prosedur operasi standard (SOP) tidak diterapkan apabila tiada penjarakan fizikal tiada semasa sesi bergambar.
Warganet mempersoalkan mengenai keselamatan dan tindakan susulan buat kanak-kanak yang turut menghadiri program berkenaan berikutan terdedah secara langsung dengan Suhaimi yang dijangkiti Covid-19.
Menerusi hantaran FB miliknya semalam, Suhaimi memaklumkan bahawa dirinya disahkan positif Covid-19 berdasarkan keputusan ujian swab kali kedua yang dilakukan.

“Ini adalah ujian swab kali kedua setelah saya menjalani kuarantin kendiri sejak enam hari yang lepas.
“Saya dimaklumkan bahawa semua kontak rapat saya akan dihubungi oleh Kementerian Kesihatan (KKM) bagi disaring mengikut SOP yang ditetapkan.
“Saya mohon ribuan kemaafan di atas segala kesulitan yang berlaku kepada masyarakat dan kontak rapat saya. Saya berdoa agar segala urusan perubatan saya dipermudahkan dan saya dapat kembali sembuh,” tulisnya.
Dalam semakan Malaysiapost sebentar tadi mendapati hantaran itu telah dipadam oleh Suhaimi.
Sebelum ini, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu dan semua yang hadir dalam mesyuarat parti itu pada 6 Januari lalu menjalani ujian saringan Covid-19.
Ia susulan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed disahkan positif.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin antara yang disahkan positif Covid-19. – Malaysiapost

