Guna peruntukan Ahli Dewan Negara PH bantu barisan hadapan – Husam

0
1

BEKAS Naib Presiden Amanah, Datuk Husam Musa memohon agar Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menggunakan wang potongan peruntukan Ahli Dewan Negara dari Pakatan Harapan (PH) bagi membantu keperluan hospital dan barisan hadapan bagi memerangi Covid-19.

“Saya percaya, wang peruntukan itu agak besar jumlahnya kerana sebahagian besar daripada kami Ahli Dewan Negara PH belum sempat membelanjakannya kerana baru saja diluluskan pada waktu itu.

“Saya berharap Perdana Menteri boleh menggunakan baki peruntukan kami itu untuk meningkatkan kebajikan atau keperluan perubatan semua hospital-hospital di seluruh negara, jika tidak pun dipulangkan kepada kami sebahagian darinya untuk kami berkhidmat kepada rakyat dengan sewajarnya,” katanya dalam satu surat yang dimuat naik di Facebook, hari ini.

Menurut Husam, tujuan surat tersebut ditulis berikutan terkesan dengan surat terbuka doktor dari Hospital Sungai Buluh yang disiarkan sebuah portal semalam, mengenai tekanan yang dialami oleh petugas kesihatan dalam menangani wabak Covid-19.

Malah, beliau berkata bersedia memotong elaun sebanyak RM1,000 sebulan bagi membantu petugas barisan hadapan.

“Sebagai tanda kebersamaan saya terhadap ‘Doktor Dari Hospital Sg Buluh’ ini yang mungkin mewakili petugas kesihatan di semua hospital di seluruh negara, saya dengan rendah hati menderma sebanyak RM1,000 sebulan daripada elaun saya selaku Ahli Dewan Negara bermula dengan gaji bulan Januari sehingga Covid-19 ini reda, dengan pertolongan Allah,” katanya turut mengajak rakyat Malaysia turut serta dalam menyalurkan bantuan itu.

Sementara itu, Husam juga mencadangkan agar Muhyiddin menurunkan peruntukan segera dan mencukupi untuk menyediakan kemudahan di semua hospital. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here