PKP: ‘Kerajaan PN perlu serius, perketat semula SOP’ – Najib

0
2

MALAYSIA akan lebih teruk jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali ini tidak dilaksanakan dengan kaedah yang betul bagi memerangi wabak pandemik Covid-19 yang semakin menggila ketika ini. 

Pandangan itu disuarakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menggesa kerajaan untuk  memperketatkan beberapa operasi standard prosedur (SOP) PKP yang kelihatan longgar dan tidak membantu untuk menghentikan rantaian pandemik ini.

“Sebab itu, jika nak lockdown 14 hari maka lockdown lah betul-betul seperti PKP pertama bulan Mac tahun lepas.

“Seketat-ketatnya yang mampu untuk 14 hari sahaja.

“Jangan PKP 2.0 ini tak rasa macam PKP pulak. Seolah-olah kerajaan tak serius,” katanya dalam satu hantaran Facebook miliknya hari ini.

Meskipun perlaksanaan PKP yang ketat akan menyukarkan kehidupan rakyat, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata, semua pihak kena bersabar dan berkorban ketika negara sedang menghadapi situasi sukar ini. 

“Dengan bantuan kerajaan kepada rakyat yang memadai, biarlah kita perit seketika untuk dua minggu pertama agar sistem kesihatan dan frontliners kita terpelihara dan PKP tidak perlu dilanjut berulang-kali.

“Pengorbanan seketika adalah jauh lebih baik berbanding mudarat berpanjangan bagi kesejahteraan rakyat dan ekonomi,” katanya.

Dalam pada itu, Najib juga melahirkan kebimbangannya terhadap perkembangan ekonomi negara yang gagal memikat hati para pelabur asing ke Malaysia.

Malah Najib juga menyindir pihak-pihak tertentu yang tidak senang dengan penulisannya di media sosial mengkritik Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dilihat semakin gagal menguruskan ekonomi negara 

“Diamlah jib”

“Dah dah le jib”

“PN dah elok tu jib”

“ini masa covid jib, jgn salahkan PN”

“Ada orang mahu saya duduk diam-diam. Macam mana nak saya diamkan diri? Isu KWSP. Isu kebajikan rakyat. Isu pelaburan.

“Baru-baru ini kita dikejutkan dengan pelaburan demi pelaburan yang mencurah ke negara-negara jiran kita,” katanya.

Najib yang pernah selama sembilan tahun menjadi Perdana Menteri berkata, kerajaan jangan mengambil ringan perkembangan ekonomi negara-negara jiran terutama Indonesia yang masih mampu menarik beberapa pelabur asing ke negara walaupun hebat diserang wabak pandemik Covid-19.

“Kalau nak kata kerana Covid-19 kita tidak dapat pelaburan, bagaimana pula dengan Indonesia? Indonesia tidak ada Covid-19?

“Tesla, Google, Amazon telah mengumumkan pelaburan di sana. Kita di sini hanya mampu bermegah-megah dengan pengumuman pelaburan Volkswagen, yang rupa-rupanya pelaburan dibawa masuk ketika saya Perdana Menteri.

“Jika kita lihat juga sektor perdagangan dan jualan secara online (e-commerce), Indonesia juga mengatasi India,” catatnya 

Menurut Najib, Malaysia perlu mencontohi kerajaan Indonesia yang telah bekerja keras dengan melaksanakan beberapa plan tindakan ekonomi yang betul bagi memastikan ekonomi negara itu terus berkembang.

Katanya, pasaran dan ekonomi Indonesia terus berkembang dengan usaha kerajaan Indonesia.

“Apakah langkah yang kita sedang ambil? Tiada. Apakah pelan ekonomi kita? Tiada.

“Apakah usaha kita untuk membantu peniaga kecil dan sederhana mendapatkan pasaran yang lebih besar? Tiada.

” Apakah hala tuju dan dasar kita untuk ekonomi digital? Tiada.

“Yang kita ada, hanya duduk dan tunggu. Ya betul. Duduklah dan tunggulah. Oh ada alasan boleh digunakan. “Salah Najib”,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here