BUKAN sebarangan botak. Inisiatif Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam mengumpul dana bagi membeli komputer riba sehingga sanggup membotakkan kepalanya sendiri mendapat pujian ramai.
Terbaru, pengasas Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu sekali mencuri perhatian ramai dengan menaiki skuter bagi mengedarkan sejumlah komputer riba pada penduduk kampung.
Menerusi Facebook, Syed Saddiq berkongsi foto menaiki motosikal miliknya sendiri yang diberi nama ‘Bumblebee’ untuk tatapan umum.

“Sampai lagi Laptop untuk orang Muar. Saya naik motor saya “Bumblebee” untuk sampaikan laptop dari kampung ke kampung. Let’s do this!” katanya.
Sebelum ini pada Disember tahun lalu, Syed Saddiq menerusi #BotakChallenge melancarkan kempen mengutip sumbangan membeli 100 buah komputer riba berjumlah RM200,000.
Hasil daripada kempen itu, 50 laptop yang berharga RM1,500 setiap satu telah diedarkan oleh bekas Menteri Belia dan Sukan itu sendiri kepada pelajar-pelajar di sekitar Muar yang memerlukan komputer riba. -Malaysiapost

