PKP: Kerajaan perlu pertimbang lanjut operasi premis makanan

0
1

AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempersoalkan peraturan semasa tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang melarang premis makanan dan gerai dibuka selepas jam 8 malam.

Syed Saddiq berkata, alasan had operasi premis sehingga jam 8 malam tidak membantu untuk mengurangkan jangkitan Covid-19.

“Semua gerai atau restoran diwajibkan tutup 8pm (malam). Tiada penghantaran dan bungkus. Sebab? Kena kawal Covid-19. (Sejak bila Covid-19 jadi power waktu malam?)

“Tetapi, pelajar diwajibkan balik sekolah untuk SPM dan STPM walaupun dari kawasan merah. Tak takut Covid-19 pula?!,” katanya dalam ciapan di Twitter, semalam.

Sementara itu, hal berkenaan turut mendapat perhatian Pengarah Komunikasi PKR yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil.

Menerusi undian pol yang diadakan dalam Twitternya, undian yang mahukan kedai makan dilanjutkan operasi sehingga 10 malam adalah sebanyak 94.2 peratus.

Manakala, hanya 5.9 peratus sahaja yang tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.

“Kedai makan patut buka sehingga sekurang-kurangnya jam 10 malam, untuk take away dan delivery sahaja,” ciapan Ahmad Fahmi pada Khamis.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah, turut menggesa kerajaan menimbangkan perkara yang sama, malah beliau mahu agar operasi premis makanan dibenarkan sehingga 24 jam.

“Kerajaan perlu membenarkan rakyat mendapatkan makanan. Benarkan restoran atau gerai makan dibuka sehingga puku 12 tengah malam untuk bungkus.

“Sementara bagi perkhidmatan penghantaran pula, benarkan restoran dan gerai makan beroperasi selama 24 jam,” katanya Twitter, hari ini.

Maria menambah, kerajaan juga perlu menyediakan ujian saringan percuma kepada semua pekerja dan membenarkan sektor industri beroperasi.

Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan berkata, aktiviti jualan makanan di restoran, kedai, gerai, kenderaan saji (food truck) dan penjaja tepi jalan di negeri yang terbabit PKP, dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 8 malam.

Beliau berkata, kebenaran sama turut diberikan kepada penjaja beredar, medan selera, pusat penjaja, gerai makan di tepi jalan, kios, kedai runcit serta kedai serbaneka.

Tambahnya, aktiviti pembekalan atau penjualan makanan hanya dibenarkan secara bawa pulang, pandu lalu atau penghantaran, bermula jam 6 pagi hingga 8 malam. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here