Pemimpin PAS termasuk Hadi jalani ujian saringan, Idris positif Covid-19

0
1

Aiman Hanif

Pimpinan PAS termasuk Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjalani ujian saringan Covid-19 selepas Naib Presiden PAS, Idris Ahmad disahkan positif wabak itu.

Menurut seorang pimpinan PAS ketika dihubungi mengesahkan bahawa Idris yang juga Senator Dewan Negara positif Covid-19 dan pimpinan pusat juga menjalani ujian saringan.

Menurutnya ujian saringan itu dijalankan terhadap pimpinan PAS kerana mereka menjadi kontak rapat kepada Idris yang hadir mesyuarat jawatankuasa PAS pusat 9 Januari lalu.

“Sahih, Ustaz Idris positif Covid-19, ujian saringan dilakukan terhadap semua pimpinan yang hadir pada mesyuarat itu,” katanya kepada Malaysiapost.

Terdahulu tular satu pesanan melalui aplikasi WhatsApp dipercayai ditulis oleh Idris yang mengesahkan beliau positif Covid-19.

Melalui maklumat yang tersebar dipercayai ditulis oleh bekas ahli Parlimen Bukit Gantang itu sendiri yang memaklumkan tentang pengesahan pihak Kementerian Kesihatan (KKM) bahawa dia positif wabak itu.

“Minta maaf banyak-banyak. KKM baru ‘call’ (hubungi) lepas maghrib tadi saya positif Covid

“Punca saya kontak dengan Syakur Pasir Putih Kelantan yang hadir program Liqa PAS Perlis 7/1/21 Khamis malam Jumaat.

“Siapa yang dekat degan ana (saya) pada petag Jumaat di Kedah, Sungai Petani dan Mesyuarat PAS Pusat 9/1/21 Sabtu,” kata Idris dalam tulisan yang tersebar di WhatsApp.

Pada 9 Jan lalu, mesyuarat jawatankuasa PAS pusat berlangsung di ibu pejabat parti itu di Jalan Raja Laut Kuala Lumpur.

Mesyuarat itu dipengerusikan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Turut hadir beberapa pemimpin utama PAS seperti Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, Naib Presiden PAS, Datuk Seri Ahmad Samsuri Moktar, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob dan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS, Kamaruzaman Mohamad mengesahkan perkara itu.-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here