Nurul Huda Abhar
“NAK nikah tak hari ini?”
Itu pertanyaan yang diajukan kepada Alia Elena Mazruddin, 24, pada awal pagi 12 Januari lalu dan tidak menyangka urusan pernikahannya bersama suami dipermudahkan walaupun persiapan hanya dalam setengah hari sahaja.
Pernikahan Alia dan suami, Muhammad Adib Hamdi, 28, berlangsung sehari sebelum perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasa pada 13 Januari lalu.
“Pagi itu jam 6.30 pagi, suami saya telefon dan tanya ‘nak nikah tak hari ni?’
“Dia suruh tanya ayah dan ibu saya dahulu. Kalau ikutkan mak ayah saya macam biarlah tangguhkan dahulu. Tapi lihat pada kesungguhan suami saya, takkan pula nak jawab tak boleh kan,” kongsinya kepada Malaysiapost.
Setelah ibu bapanya bersetuju, Alia lantas menghubungi jurunikah namun dimaklumkan bahawa slot telah penuh untuk 20 pasangan pada hari tersebut.
Bagaimanapun, setelah mencuba menghubungi jurunikah yang berlainan, Alia berjaya mendapatkan slot pada jam 5 petang pada hari yang sama.
Menurut Alia, tarikh sebenar pernikahan mereka adalah pada 21 Januari dan ia jatuh dalam tempoh PKP yang telah diumumkan.
“Saya ada bercakap dengan suami oleh kerana PKP, kena tangguh la majlis dan tak tahu tangguh sampai bila. Risau juga borang nikah kami akan ‘expired‘. Malam 11 hari bulan tu pun kami tiada rancang bernikah keesokkanya. Pagi itu baru suami tanya nak nikah tak,” katanya lagi.
Mengakui persiapan yang dilakukan agak tergesa-gesa, Alia bersyukur kerana usaha untuk mendapatkan pelamin, jurumekap, perkhidmatan katering dan jurugambar semuanya dipermudahkan.
Walaupun perancangan awal untuk bernikah pada 21 Januari, namun semua kelengkapan mereka berdua masih lagi tidak dibuat sepenuhnya.
“Sememangnya kalut juga, sebab keluarga saya kata takkan tiada langsung jamuan untuk meraikan hari ini.
“Agak tergesa-gesa sebab nak siapkan persiapan di rumah. Lepas tu keluar beli barang-barang saya. Suami saya pun pada masa itu keluar cari barang-barang kelengkapan dia. Nasib baik cincin sudah dibeli,” ujarnya lagi.
Video pernikahan Alia dan Muhammad Adib tular di laman Twitter dan mendapat lebih 400,000 tontonan, dan 25,000 tanda suka.
Walaupun telah bernikah di Masjid Puncak Alam, Selangor pada 12 Januari lalu, sehingga hari ini mereka berdua seperti tidak percaya bahawa kini telah bergelar suami isteri.
“Sejujurnya hari itu kami berdua pun macam tak percaya yang kami dah bernikah. Sebab semuanya berjalan hanya dalam satu hari sahaja.
“Kawan-kawan kami pun ramai yang terkejut bila mengetahui kami dah bernikah. Tapi mereka semua mengucapkan tahniah dan bersyukur kerana pernikahan kami dipermudahkan urusan,” katanya.
Bermula 13 hingga 26 Januari, semua aktiviti majlis sosial dan keramaian, termasuk majlis perkahwinan, pertunangan serta resepsi, tidak dibenarkan di negeri yang terlibat dengan perlaksanaan PKP.
Negeri Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan), Melaka, Johor, Sabah dan yang terbaharu Kelantan adalah negeri yang dikenakan PKP.
Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, majlis sosial seperti kenduri-kendara, majlis akikah, doa selamat, tahlil dan sambutan ulang tahun serta hari lahir, turut dilarang. – Malaysiapost

