Henti polemik politik, fokus pada rakyat – Asyraf Wajdi

0
1

PERGERAKAN Pemuda Umno menggesa semua pihak agar menghentikan polemik politik dan memberi fokus untuk membela nasib rakyat yang sedang menghadapi kesukaran ketika ini.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pandemik Covid-19, proklamasi Darurat dan musibah banjir buruk yang menimpa beberapa buah negeri memberi kesan besar terhadap kehidupan rakyat.

“Natijah pandemik kepada ekonomi semakin terasa hinggakan pelaburan makin menguncup dan kadar pengangguran kian meningkat, turut menyebabkan rakyat makin susah, resah dan gelisah memikirkan soal kelangsungan hidup mereka.

“Berbeza dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada Mac tahun lepas, tekanan pada PKP 2.0 kali ini, ditambah dengan proklamasi Darurat sudah tentu lebih meruncing,” katanya menerusi Facebook.

Sehubungan itu, jelas beliau, rakyat terpaksa menghadapi kesukaran tersebut tanpa menerima moratorium automatik, bantuan tunai yang besar, insentif gaji pekerja dan ditambah dengan bencana alam di beberapa negeri.

“Semua ini akan memberi kesan kepada moral dan keyakinan rakyat dalam menghitung hari-hari mendatang,” katanya.

Tambah Asyraf, di tengah-tengah krisis pandemik dan keperitan rakyat ini, sudah tentu polemik politik sama ada dalaman dan antara parti adalah perkara terakhir yang mereka mahu terjebak atau terheret.

Justeru itu, beliau berpendirian bahawa Umno harus kembali kepada landasan yang asal dengan menjadikan mantera tradisi membela rakyat sebagai teras perjuangannya ketika ini.

“Kepimpinan Umno sama ada di dalam mahupun di luar pentadbiran kerajaan mesti berusaha menuntut bagi pihak rakyat perkara-perkara yang menyentuh kebajikan mereka iaitu mempermudahkan pengeluaran i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tanpa syarat dan kriteria.

“Selain itu, bantuan kebajikan rakyat musim PKP 2.0 sebagaimana PKP kali pertama serta lanjutan moratorium tanpa syarat dan tidak dikenakan penalti atau caj tambahan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, ketepikan seketika hiruk-pikuk perpolitikkan dan berpolemik mengenai kuasa dan kedudukan.

“Ia demi memberikan tumpuan sepenuhnya kepada isu-isu membela rakyat dan membantu mereka yang benar-benar susah dan gelisah,” tegasnya. Malaysiapost.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here