MEMASUKI hari kelima menerima rawatan selepas disahkan positif Covid-19, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkongsi pengalamannya melihat pengorbanan petugas barisan harapan menjaga kesihatan rakyat.
Katanya, beliau yang kini menerima rawatan di Hospital Raja Perempan Zainab II (HRPZII) di kota Bharu, Kelantan memahami tekanan dan kepenatan mereka dalam menangani krisis berkenaan.
“Bagi yang dijangkiti Covid-19 dan dimasukkan ke wad, mereka akan merasai betapa caknanya kerajaan melindungi nyawa rakyat Malaysia. Inilah pengorbanan besar warga KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) demi menjaga kesihatan rakyat.
“Saya dapat melihat sendiri doktor dan jururawat menjalankan tugas dengan penuh komited sehingga ada di antara mereka dijangkiti virus Corona. Mengikut laporan seramai 1,880 petugas KKM positif Covid-19.
“Kita amat memahami tekanan dan kepenatan petugas kesihatan untuk menangani krisis ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Jeli itu berkata, pelaksanaan darurat membolehkan Perdana Menteri dan kerajaan serta KKM lebih fokus menangani Covid-19 dengan berkesan.
Katanya, perbalahan politik yang berpanjangan hanya menyebabkan keadaan bertambah kusut sehingga menjejaskan tumpuan untuk memerangi Covid-19.
“Covid-19 mesti dikurangkan dengan drastik, jika pandemik ini berterusan ekonomi akan lumpuh.
“Demi melindungi nyawa rakyat dan survival ekonomi Malaysia, rantaian jangkitan Covid-19 perlu diputuskan segera. Kita doakan darurat akan bantu Malaysia keluar daripada kemelut ini.” katanya. – Malaysiapost

