Proklamasi darurat bersifat politik – Shafie

0
2

PRESIDEN Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mendakwa motif Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam menasihati Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk pelaksanaan proklamasi darurat lebih bersifat politik.

Beliau yang menyembah maklum dan menjunjung perkenan Agong berkaitan darurat itu berkata, peruntukan itu perlu dilaksanakan dengan tanggungjawab demi maafaat negara dan rakyat dan bukannya bersifat sebaliknya.

“Undang-undang sedia ada cukup untuk berdepan Covid-19. Jika ada keperluan meminda Perlembagaan Persekutuan untuk mengelak Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak atau Pilihan Raya Kecil (PRK) ketika pandemik, kerajaan perlu berunding dengan pembangkang untuk mendapatkan dua pertiga majoriti.

“Jika ada keperluan mewujudkan perundangan bagi Covid-19, kerajaan sepatutnya berunding dengan pembangkang dan bukannya mengisytiharkan darurat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shafie berkata, semua pemimpin politik daripada kedua-dua pihak boleh bersetuju mengadakan gencatan agar pilihan raya tidak diadakan.

“Darurat perlu dihentikan agar demokrasi berparlimen dapat dikembalikan dalam masa terdekat melalui rundingan damai antara pemimpin politik bagi mengelak pilihan raya semasa pandemik,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berpandangan adalah salah dan tidak berperlembagaan (unconstitutional) jika Perdana Menteri menyatakan Parlimen sekarang digantung kerana adanya proklamasi darurat.

Katanya, perspektif undang-undang proklamasi darurat dan penggantungan Parlimen adalah dua perkara yang berbeza.

“Yang di-Pertuan Agong telah bersetuju mengeluarkan satu Proklamasi Darurat di bawah Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan setelah berpuas hati dengan nasihat yang dikemukakan oleh Perdana Menteri dan Kabinet.

“Proklamasi darurat hanya setakat itu sahaja, tidak menyentuh penggantungan Parlimen Malaysia.

“Tetapi untuk menggantung Parlimen, Perdana Menteri mesti mengemukakan alasan-alasan yang khusus dan kukuh kepada yang di-Pertuan Agong mengapa Parlimen Malaysia sekarang perlu digantung. Muhyiddin telah gagal mengemukakan alasan-alasan tersebut,” katanya.

Hassan berkata, tindakan Muhyiddin untuk menggantung Parlimen Malaysia adalah tidak sah dan tidak berperlembagaan dan ia mesti dicabar dan ditentang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here