Tiada larangan penjaja kecil cari rezeki ketika darurat – Annuar

0
1

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan tidak melarang penjaja kecil meneruskan aktiviti jualan mereka di beberapa kawasan di ibu negara dalam tempoh pelaksanaan darurat.

Jaminan itu diberikan Menterinya, Tan Sri Annuar Musa yang menyatakan penjaja kecil hanya perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah Covid-19 termasuk ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Dalam tempoh darurat, penjaja di Wilayah Persekutuan boleh terus menjalankan perniagaan dan lesen terus diberi percuma.

“Cuma saya minta patuhi SOP dan arahan PBT (pihak berkuasa tempatan), KKM (Kementerian Kesihatan) dan pihak berkuasa. Kita bantu membantu dan bersama perangi Covid-19,” katanya menerusi ciapan di Twitternya hari ini.

Sementara itu, Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM) menyuarakan agar kelonggaran yang diberikan kepada penjaja kecil pada PKP kali ini perlu diteliti sebaik mungkin.

Presidennya Che Hassan Che Johan berkata, ia termasuklah menggunapakai kaedah sama ketika PKP sebelum ini.

“Sudah tentu ia akan menggerakkan ekonomi menerusi aktiviti perniagaan.

“Namun perlu ditegaskan, kelonggaran ini masih tertakluk kepada SOP. Sekiranya ada yang melanggar arahan, tindakan sewajarnya harus diambil,” katanya.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin semalam menjelaskan, darurat bukan perintah berkurung dengan pengambilalihan kuasa oleh tentera, sebaliknya bagi membolehkan usaha membendung penularan Covid-19 dengan lebih berkesan.

Menerusi PKP yang bermula hari ini di enam negeri termasuk Wilayah Persekutuan, aktiviti penjaja kecil masih dibenar beroperasi seperti biasa, namun tempoh masa dihadkan dari 6 pagi hingga 8 malam.

Modus operandi perniagaan penjaja juga terhad untuk pembelian pandu lalu, bawa pulang serta penghantaran saja. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here