PKP: Bantu kami suami isteri jarak jauh

0
1

Nurul Huda Abhar

BAGI pasangan suami-isteri yang tinggal berjauhan, larangan rentas negeri hanya menyukarkan urusan ahli keluarga untuk berjumpa dan menguruskan anak-anak.

Ini kerana tanggungjawab menguruskan anak-anak terpaksa dilakukan pihak isteri berseorangan oleh kerana suami tidak dapat merentas negeri untuk membantu.

Bagi Mohd Afiza Abdullah, 36, yang tinggal berasingan dengan isteri sejak 2019, mengakui bimbang dengan persediaan persekolahan yang akan dihadapi dua anak perempuan kembarnya.

Afiza bersama isteri dan anak perempuan kembarnya

“Saya kalau boleh nak bantu, tengok keadaan anak-anak yang bakal memasuki darjah satu tahun ini. Tambahan pula ini kali pertama mereka masuk sekolah, jadi saya nak tengok.

“Lagipun saya kasihan pada isteri, dia juga berkerja sebagai jururawat di Johor. Kekangan masa untuk mengurus anak-anak ditambah pula dengan tugasnya sebagai petugas barisan hadapan sangat mencabar,” katanya ketika dihubungi Malaysiapost.

Beliau yang bertugas di sebuah syarikat media di Selangor memberitahu kerajaan sepatutnya memberi kelonggaran kepada pasangan suami isteri yang tinggal jarak jauh untuk merentas negeri, kerana tiada jaminan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hanya berlangsung dua minggu.

“Serba salah saya, anak-anak dan isteri paling utama. Tetapi kerja pun penting juga. Masa PKP tahun lalu berbulan tak jumpa, berbual dengan panggilan video sahaja.

“Sedih bila tengok orang lain boleh bersama keluarga. Tapi apakan daya kerana tuntutan kerja kami berdua dan kes Covid-19 yang masih meningkat kena bersabar,” ujarnya lagi.

Menurut Mohamad Marzurizal Mazlan, 31, kali terakhir dia berjumpa isteri dan dua anaknya di Kelantan pada Disember lalu.

Mohamad Marzurizal yang bertugas sebagai kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kuala Lumpur memberitahu tanggungjawab kerja yang memerlukan komitmen masa yang terhad menyebabkan dia tidak boleh kerap pulang menemui keluarga di kampung.

“Kalau telefon anak-anak atau semasa buat panggilan video sudah biasa mereka sebut perkataan rindu. Saya rasa isteri dan anak-anak sudah faham kerja saya terpaksa berjauhan dengan mereka.

“Saya harap larangan rentas negeri ini jangan lama sebab kena fikirkan juga nasib kami yang tinggal berjauhan. Kami juga mahu pulang ke kampung jumpa isteri dan anak-anak,” luahnya.

Pasangan suami isteri yang tinggal secara jarak jauh tidak terkecuali daripada dikenakan larangan merentas negeri di seluruh negara, susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga 26 Januari di enam negeri di Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

Selain itu, PKP Bersyarat bagi tempoh sama dikenakan di Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Susulan itu, Pasangan suami isteri yang tinggal secara jarak jauh tidak terkecuali daripada dikenakan larangan merentas negeri.

Sehubungan itu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap pasangan suami isteri yang terlibat dapat bersabar sepanjang PKP dilaksanakan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here