Negeri Sembilan harap kaji semula sesi persekolahan di kawasan PKPB

0
1

KERAJAAN Negeri Sembilan memohon Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengkaji semula tarikh kemasukan sesi persekolahan tahun ini di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) termasuk di negeri itu yang ditetapkan pada 20 Januari ini.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata penetapan tarikh kemasukan sekolah pada 26 Januari atau pada awal bulan Februari depan dilihat sebagai wajar mengambil kira tempoh 14 hari pelaksanaan PKPB.

“Matlamat kita buat selama 14 hari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKPB adalah bagi memastikan bahawa dapat diselesaikan (peningkatan kes positif Covid-19), kita lihat dahulu perkembangannya.

“Saya lihat apabila buat pada 20 Januari (kemasukan murid), akan mendatangkan masalah, ibu bapa akan hantar dan ambil anak mereka di sekolah, di sekolah masalah itu (kes Covid-19) akan lebih rumit. Jika dapat diselesaikan 14 hari, kita yakin jika ada kes-kes positif, ia telah dapat dikurangkan,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.

Aminuddin berkata, walaupun ada prosedur operasi standard (SOP) di sekolah-sekolah, beliau tetap berpandangan kemasukan ke sesi persekolahan pada 20 Januari depan boleh mengundang risiko penularan semula Covid-19.

“Walaupun ada SOP, kerajaan negeri berharap perkara ini diberikan perhatian, biarlah bermula 26 Januari atau awal bulan Februari bagi memastikan komitmen kita dalam PKPB dapat mencapai matlamatnya.

“Kita tak mahu nanti sehingga perkara yang sama yang tetap berlaku, harap pandangan ini dipertimbangkan,” katanya.- Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here