AHLI Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dilaporkan sedang menjalani kuarantin susulan seorang pegawainya disahkan positif Covid-19.
Difahamkan, pegawai berkenaan sedang menjalani rawatan di Hospital Kuala Lumpur ketika ini.
Perkara berkenaan disahkan seorang lagi pegawainya namun tidak mengulas lanjut bila individu berkenaan dijangkiti pandemik berkenaan.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dalam Parlimen Gua Musang disahkan positif Covid-19, kelmarin.
Perkara itu disahkan sendiri Adun Galas Mohd Syahbuddin Hashim menerusi hantaran Facebook miliknya.
“Dengan penuh dukacita dan hiba, saya dan isteri disahkan positif Covid-19 dan kepada semua yang ada berhubung rapat dipohon jutaan maaf kerana mungkin menyusahkan tuan dan puan yang terpaksa menjalani ‘swab test’ dan mungkin terkena jangkitan.
“Gua Musang telah diisytiharkan zon merah, berhati-hatilah semua,” katanya yang menerima rawatan di Hospital Kuala Krai. – Malaysiapost

