Mahathir: Saya dilabel ekstrimis

0
2

BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa beliau dilabel sebagai ekstremis oleh laman Projek Anti-ekstremisme yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).

Menurutnya, laman tersebut membuat dakwaan tersebut kerana sokongannya terhadap keganasan di negara Barat dan kritikannya terhadap kumpulan pro lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) serta orang Yahudi.

Bekas perdana menteri dua kali itu berkata, nama beliau dimasukkan dalam senarai 20 ekstremis paling berbahaya di dunia dan dicerca kerana pemikirannya.

“Laman web ini menyiarkan separuh daripada apa yang saya tulis dan memutar belitnya untuk menunjukkan saya menyokong keganasan.

” Saya secara khusus menekankan umat Islam tidak membalas dendam,” tulisnya menerusi twitter.

Sehubungan itu Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, individu boleh menjadi ekstremis kerana mengkritik negara Barat walaupun itu kebenarannya.

“Anda tidak perlu buat apa-apa. Nampaknya saya dicerca kerana pemikiran saya, manakala yang lain terlepas daripada tindakan keganasan yang menyebabkan kematian dan kemusnahan golongan lemah dan ditindas.

“Senarai itu termasuk pemimpin atau anggota Hezbollah, Hamas, IS, Ikhwanul Muslimin, Al Qaeda, ketua gerakan Nazi, sebuah gerakan supremasi berkulit putih dan sebuah kumpulan anti-Islam di Myanmar,” ujarnya.

Tambah Ahli Parlimen Langkawi itu, bekas presiden Amerika Syarikat, Donald Trupm juga sepatutnya termasuk dalam senarai ekstrimis.

“Malahan, Facebook turut melarang Trump sehingga tamat penggal presidennya untuk menggunakan platform itu bagi menghasut pemberontakan ganas terhadap kerajaan yang dipilih secara demokratik, tetapi Trump tidak termasuk dalam senarai itu,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bekas presiden AS, George Bush dan bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair bertanggungjawab terhadap kemusnahan menyeluruh Iraq melalui pencerobohan negara itu berdasarkan dakwaan palsu ia memiliki senjata pemusnah besar-besaran.

“Adakah Bush dan Blair dianggap ekstremis dengan semua nyawa yang terkorban akibat pembohongan mereka mengenai Iraq,” soalnya.

Katanya, serangan mengejut dan mengerunkan mereka yang didakwa akan menyelesaikan masalah pemerintahan diktator Iraq dalam tiga bulan kini berada memasuki tahun ke-18 namun kemusnahan masih berterusan.

Mahathir berkata, berdasarkan Human Rights Watch, pasukan keselamatan Israel membunuh 189 penunjuk perasaan Palestin, termasuk 31 kanak-kanak dan tiga pekerja perubatan, serta mencederakan lebih 5,800 orang dengan tembakan antara 30 Mac hingga 19 Nov 2018.

“Sejak kewujudan Israel, ribuan nyawa rakyat Palestin terkorban akibat tindakan Israel.

“Tetapi, tiada satu pun orang Israel yang disenaraikan dalam kalangan ekstremis atau pengganas oleh laman web ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here