Darurat demi selamatkan rakyat

0
2
KUALA TERENGGANU 26 JANUARI 2019. Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga Ahli Parlimen Marang semasa sidang media selepas menyampaikan Ucaputama dan Perasmian Program Simposium Seni & Hiburan Menurut Islam anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) di Dewan Teater, PPAT, Padang Hiliran. NSTP/IMRAN MAKHZAN

Datuk Seri Abdul Hadi Awang

SELURUH dunia hari ini dilanda wabak Covid-19 yang merebak dengan ganas di seluruh dunia, tanpa penemuan vaksin pencegahan yang berkesan dan ubat yang mujarab sepenuhnya.

Sehingga kini sudah beberapa negara mengisytiharkan darurat kesihatan, sama ada dilaksanakan di seluruh negara atau kawasan yang terhad.

Malaysia juga berada di alam muka bumi yang sama dengan masyarakat kemanusiaan yang besar, maka kewaspadaan dan tindakan yang sama perlu diambil.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah mengambil langkah seawal berlakunya wabak ini seperti di negara-negara lain dan berjaya mengawal penularannya dengan kadar yang terhad. Namun, ia masih lagi belum mampu mengatasi penularan wabak sepenuhnya.

Maka langkah seterusnya wajib diambil secara proaktif, sama ada tindakan menghadapi cabaran pencegahan dalam negara sendiri, atau ancaman wabak yang datang daripada luar, khususnya pendatang tanpa izin yang susah dikawal dengan undang-undang dan peraturan biasa.

Sehingga kini, wabak Covid-19 sudah menjadi ancaman terhadap pasukan barisan hadapan yang telah didapati positif. Mereka terdiri daripada pasukan keselamatan, kesihatan dan pentadbiran, bukan sahaja rakyat awam biasa.

Penularan yang berlaku berpunca daripada pelbagai sebab yang mewajibkan kerajaan bertindak lebih awal dalam menghadapi sebarang kemungkinan membahayakan. Keadaan semasa yang belum terkawal juga memerlukan tindakan yang luar biasa bagi menangani wabak ini sepenuhnya.

Cadangan untuk mengisytiharkan darurat kesihatan telah dipersembahkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Baginda telah melakukan budi bicara melalui musyawarah Majlis Raja-Raja pada peringkat awal. Lalu Baginda telah mengambil keputusan yang tidak gopoh dengan memberikan tempoh supaya pihak kerajaan mengambil peluang melaksanakan langkah penyelesaian tanpa darurat, sekiranya dapat diatasi.

Baginda menegaskan beberapa syarat dan pendekatan, sehingga dilarang berpolitiking dalam mengatasi penularan wabak tetapi tindakan itu sangat menganggu urusan yang tidak sepatutnya dilakukan.

Ada kalangan mereka yang menganggapnya tidak berbahaya, sehingga dianggap masih boleh diatasi dengan teori-teori tanpa praktikal, seolah-olah tidak berada di planet bumi yang sedang diancam wabak. Fikiran mereka sudah sampai ke tahap tidak peka dengan bahaya yang mendatang dan tidak mempedulikan nasihat yang diberikan.

Ada juga yang masih berpolitiking sepanjang masa dengan pelbagai alasan politik yang tidak matang dan sejahtera. Pada waktu yang gawat ini, mereka masih berbahas siapa yang layak menjadi Perdana Menteri, walaupun dalam keadaan mereka berpecah belah tidak mampu mengumpulkan jumlah yang mencukupi. Ada juga yang telah tenggelam bahteranya, tetapi masih berpaut.

Sebahagian lain pula tanpa sedar sudah hampir tenggelam bahtera mereka. Sehingga ada yang menghantar nama kepada KDYMM Yang di-Pertuan Agong dengan tandatangan tanpa angka, laksana menyerahkan cek kosong supaya Tuanku meletakkan berapa jumlahnya.

Jangan menangis jangan meratap,
Letak surat ke dalam sampul,
Tidak mampu nak tebuk atap,
Jangan marah pahatnya tumpul.

Kami menganggap mereka sudah lupa kepada Sunnah Rasulullah SAW yang mengajar cara untuk menghadapi darurat wabak dengan kadar dan tempoh tertentu.

Darurat bagi menyekat penularan wabak Covid-19 wajib dilaksanakan. Semua pihak perlu berhenti sekejap berpolitiking, walaupun masih ada yang tidak mahu mengaku kalah dengan apa sahaja tindakannya.

Penulis ialah Presiden PAS
(Tulisan ini diambil dari tulisan di Facebook beliau dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Malaysiapost)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here