Nurul Huda Abhar
JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan usahawan kosmetik, Nur Sajat atau nama sebenar Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman disiasat mengikut Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah Selangor No 5 Tahun 1995.
JAIS dalam satu kenyataan berkata, siasatan dibuat berikutan tindakannya di dalam Negeri Selangor dan beberapa akaun yang diterima mengenai perlakuan beliau pada 2018 dan 2020.
“JAIS mengambil maklum akan video yang telah ditularkan oleh Sajjad berkaitan dengan insiden melibatkan dirinya dan beberapa penguatkuasa JAIS baru-baru ini.
“Sajjad telah membuat laporan polis berkaitan insiden tersebut,” kata JAIS dalam kenyataan, semalam.
Sementara itu, JAIS berkata, Pegawai Penguatkuasa JAIS yang berkenaan juga telah dipanggil bagi memberi keterangan mengenai laporan yang dibuat.
Muhammad Sajjad menerusi laman Instagram mendakwa ditahan pada 6 Januari lalu di Pusat Tahanan Sementara (PTS) di Kuala Kubu Bharu.

Menerusi video yang dimuat naik, dia memberitahu menerima layan tidak wajar walaupun datang bertujuan untuk memberi keterangan dan kerjasama kepada pihak JAIS.
Menerusi satu lagi video yang dimuat naik pemilik akaun lain menunjukkan dia dilihat berbaju biru, mengenakan cermin mata sedang menangis teresak-esak sambil ditenangkan oleh seorang individu di sisinya. – Malaysiapost

