Polis guna budi bicara benarkan rentas negeri, daerah

0
1

LEBIH 300 sekatan jalan raya (SJR) di jangka diadakan bermula tengah malam ini terutama di plaza tol serta jalan menghubungkan sempadan negeri dan daerah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, dalam menghadapi perkembangan terbaru Covid-19 ini, pihaknya sudah mengarahkan cuti semua pegawai dan anggota dibekukan serta-merta kecuali bagi kes kecemasan.

“Ini bagi memberikan kekuatan semaksimum mungkin kepada polis dalam menguatkuasakan PKP dan memantau prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam sidang media di Bukit Aman hari ini.

Menurut beliau, ketika PKP pertama pada Mac tahun lalu, sebanyak 700 SJR diadakan dan pada malam ini setiap kontinjen polis masih mengatur kedudukan, namun jumlahnya dijangka lebih 300 SJR.

“SJR yang saya jangka diadakan malam ini mencecah lebih 300, tidak termasuk 56 sekatan tetap sedia ada di bawah Operasi Benteng.

“Sekatan ini ditumpukan di susur keluar lebuh raya dan laluan menghubungkan sempadan negeri serta daerah,” katanya.

Beliau berkata, jumlah sekatan itu akan bertambah berdasarkan keadaan dan polis mempunyai kekuatan mencukupi untuk menjalankannya.

Abdul Hamid berkata, pihaknya mempunyai kekuatan seramai 48,000 pegawai dan anggota dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali kedua ini.

“Kita mempunyai 48,000 pegawai dan anggota untuk melaksanakan PKP ini dan juga 12,000 anggota lagi yang dalam keadaan bersedia untuk penugasan,” katanya.

Mengenai kebenaran kepada mereka yang hendak pulang susulan bimbang terkandas akibat pelaksanaan PKP, beliau berkata, pihaknya akan menggunakan budi bicara sebaik mungkin.

“Mungkin ada yang bimbang terperangkap esok dan saya dah keluarkan arahan untuk guna budi bicara setingginya bagi membenarkan mereka pulang.

“Ini termasuk mereka yang sudah membeli tiket sama ada penerbangan, bas atau kereta api dan sebolehnya kami tidak mahu membebankan sesiapa terutama di sektor ekonomi termasuk memberi kelonggaran dengan hanya tunjuk pas pekerja sahaja,” katanya.

Abdul Hamid berkata, banyak kekeliruan pada PKP pertama dahulu dan kali ini akan diatasi.

“Kalau ada tidak puas hati seperti dikenakan kompaun boleh rujuk kepada semula kepada polis.

“Harap orang ramai memahami kesulitan dialami polis kerana kami juga baru dapat SOP lengkap daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) lewat petang tadi.

” Sekiranya ditahan di SJR boleh jelaskan dan saya sudah maklumkan kepada anggota di lapangan supaya guna budi bicara sebaik mungkin,” katanya.- Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here