AHLI-Ahli Parlimen pembangkang diminta memberi sokongan terhadap usaha kerajaan mengawal penularan wabak Covid-19 serta membantu rakyat yang terkesan akibat banjir.
Harapan itu dinyatakan Ahli-Ahli Parlimen kerajaan yang menyokong sepenuhnya perutusan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, mengenai usaha mengekang penularan Covid-19 dan membantu rakyat yang terkesan akibat banjir yang melanda negara.
Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC), Datuk Seri Shahidan Kassim berkata pihaknya sedar kedua-dua perkara itu adalah masalah rakyat dan kesejahteraan serta keselamatan rakyat adalah keutamaan.
“Kesan ekonomi daripada Covid-19 menyebabkan rakyat terbanyak terkesan hebat. Begitu juga dengan permasalahan kesihatan. Kami begitu prihatin dan simpati akan semua permasalahan rakyat ini.
“Masalah rakyat harus diberikan perhatian oleh semua pihak.
“Kita meminta kerajaan agar terus menggandakan usaha membantu rakyat yang terlibat sepenuhnya,” katanya menerusi kenyataan.
Semalam, Muhyiddin mengumumkan PKP di enam negeri iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya), Melaka, Johor, Pulau Pinang dan Sabah bermula esok hingga 26 Januari. – Malaysiapost

