SECARA keseluruhan kluster Covid-19 direkodkan di Malaysia setakat ini mencecah 605 dengan 11 kluster baru dilaporkan hari ini.
Kluster baru itu termasuk dua membabitkan pusat dialisis dikenali sebagai Kluster Dialisis Batu dan Kluster Dialisis Putra.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster baru itu adalah membabitkan kluster dalam komuniti (4), tempat kerja (5) dan dua kluster dalam kumpulan berisiko.

Menurutnya, lima kluster tempat kerja adalah Kluster Jalan Manan, Kluster Persiaran Kuala, Kluster Udarama, Kluster Iris dan Kluster Jalan Kiara.
Beliau berkata, bagi kluster dalam komuniti pula adalah Kluster Permint Harmon dan Kluster Taman Kesedar.
“Pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan kluster direkodkan di Malaysia kini 605 kluster, ” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dr Noor Hisham turut memaklumkan, lapan kluster diisytiharkan tamat hari ini, sekali gus membawa kepada jumlah kumulatif 344 kluster tamat.
Kluster berkenaan adalah Kluster Atabara, Kluster Senu Setia, Kluster Bonggaya, Kluster Jernai, Kluster Pengkalan Barat, Kluster Tapak Bina Puteh Lama, Kluster Tapak Bina Jalan Bukit dan Kluster Sabaru.

“Ia menjadikan jumlah kluster aktif sedang dipantau ialah 261, termasuk 77 yang melaporkan pertambahan kes pada hari ini.
“Kluster melaporkan pertambahan kes baharu yang tertinggi ialah Kluster Penjara Jalan Harapan (192), Kluster Teratai (176) dan Kluster Tembok Choh (162),” katanya. – Malaysiapost
