Kerajaan ada cukup kuasa tangani Covid-19, tak perlu darurat

0
1

MALAYSIA tidak perlu Proklamasi Darurat buat masa ini kerana kerajaan mempunyai cukup kuasa untuk menangani penularan Covid-19 melalui pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kata bekas Perdana Menteri itu, rakyat amat patuh kepada arahan kerajaan berbanding negara-negara lain.

“Kuasa cukup kerana di Malaysia ini rakyat kita patuh kepada kerajaan. Tidak seperti di Eropah dan Amerika Syarikat, rakyat bantah kalau ada sekatan apa-apa. Kalau ada lockdown mereka bantah.

“Tetapi di Malaysia suruh lockdown, kita lockdown. Suruh jangan bergerak, kita tidak bergerak, duduk di rumah.

“Ada yang cuba bangkang, tapi tindakan boleh diambil,” katanya pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) hari ini.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat hingga 1 Ogos 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Dalam perutusan khas sebentar tadi, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diadakan sebaik sahaja Jawatankuasa Bebas yang akan ditubuhkan memperakukan bahawa Covid-19 telah reda atau pulih sepenuhnya.

Perdana Menteri berkata semua pilihan raya termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) serta Pilihan Raya Kecil (PRK) tidak akan diadakan dalam tempoh darurat berkuat kuasa.

Malah, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) juga tidak akan bersidang.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir menuntut kerajaan agar menjelaskan keperluan bagi mengadakan Proklamasi Darurat.

“Pendapat saya kita boleh buat segala usaha untuk kurangkan penularan Covid-19. Sekarang ini ada darurat, saya tidak tahulah apa makna darurat. Kita nak tunggu penjelasan daripada kerajaan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here