URA-ura mengenai pelantikan Timbalan Perdana Menteri daripada Umno sekali lagi hangat diperkatakan, kali ini dikatakan antara Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Isu berkenaan yang mula dibangkitkan beberapa bulan lalu sebelum senyap tanpa perkembangan, kembali hangat berikutan keputusan Umno mahu memutuskan hubungan dengan Bersatu, sejak minggu lalu.
Sin Chew Daily yang memetik sumber melaporkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dikatakan akan memilih sama ada Ismail Sabri yang juga Naib Presiden Umno atau Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai timbalannya.
Menurut laporan itu, Ismail Sabri dan Hishammuddin diberi peluang berbincang terlebih dahulu bagi mencapai kata sepakat sebelum menyerahkan kepada Muhyiddin untuk membuat keputusan muktamad.
Berdasarkan sumber daripada Umno itu, calon Timbalan Perdana Menteri perlu mempunyai wibawa untuk menyelesaikan persengketaan dalam Umno agar dapat menjamin kestabilan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Dilaporkan Muhyiddin tetap berpendirian untuk memberi jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada Umno, tetapi Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sendiri dikatakan ingin mengisi jawatan tersebut.
“Namun disebabkan Ahmad Zahid masih terbabit dengan kes mahkamah, Perdana Menteri berhasrat agar Umno dapat memilih calon lain lebih sesuai dan berkelayakan,” kata sumber itu.
Ismail Sabri dikatakan berada dalam kem Ahmad Zahid dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Jika beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan ‘melangkaui’ kedudukan Ahmad Zahid, kemungkinan sentimen tidak puas hati dalam kalangan parti dapat dikurangkan.
Menurut sumber itu lagi, Muhyiddin bagaimanapun dikatakan lebih cenderung memilih Hishammuddin.
Ini kerana, katanya, menguatkan lagi perkara itu apabila kebelakangan ini, Hishammuddin menunjukkan beberapa tindakan yang mampu memberi kelebihan kepadanya.
“Kenyataan beliau yang ingin meletak jawatan sebagai menteri sebelum Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno dan menghadap Sultan Johor baru-baru ini, meningkatkan lagi peluang beliau.
“Satu lagi kelebihan kepada Hishammuddin ialah hubungannya yang akrab dengan kerabat diraja Arab Saudi dan China,” katanya.
Difahamkan, Ismail Sabri dan Hishammuddin masih mengadakan perbincangan dan masih gagal mencapai kata persetujuan dalam masa terdekat.
Oktober lalu, media melaporkan Muhyiddin mempertimbangkan beberapa nama untuk dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, antaranya Ismail Sabri, Hishammuddin dan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Bagaimanapun, perkara itu tidak menjadi kenyataan apabila tiada sebarang pengumuman mengenainya dibuat.
Selepas dilantik menjadi Perdana Menteri pada Mac tahun lalu, Muhyiddin tidak melantik Timbalan Perdana Menteri, sebaliknya melantik empat menteri kanan.
Daripada jumlah itu, dua dari Bersatu iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Dr Radzi Jidin serta Datuk Fadillah Yusof dari Gabungan Parti Sarawak selain Ismail Sabri. – Malaysiapost

