Subhanallah…. Masyaallah…

0
1

SUBHANALLAH! Itu ciap bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa di Twitter, sebagai reaksi terhadap kenyataan Datuk Seri Ahmad Maslan yang kekal dengan pendirian supaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan segera.

Menerusi ciapan itu, Annuar berkongsi pautan laporan portal berita berkaitan kenyataan Ahmad yang dilaporkan berkata PRU15 boleh diadakan apabila banjir pulih dan vaksin Covid-19 telah mula digunakan.

Dalam ciapan berasingan, Annuar menulis Masyaallah, sebagai reaksi terhadap kenyataan Ahmad yang menegaskan kempen pilihan raya bukan menjadi masalah.

Menerusi pautan yang dikongsi Annuar, Ahmad menyatakan kempen pilihan raya boleh dilaksanakan secara dalam talian, sekali gus mengelak penularan jangkitan Covid-19.

Ahmad yang juga Setiausaha Agung Umno semalam menerusi ciapan di Twitter mempersoalkan “jika boleh ke kedai, pasar raya, restoran beratur setiap hari kenapa tak boleh cuma satu hari beratur mengundi dengan SOP ketat?”.

Kenyataan itu bagi mempertahankan usul Umno agar PRU15 diadakan segera.

Beliau yang juga Setiausaha BN menggantikan Annuar yang dilucutkan jawatan minggu lalu, turut menegaskan kempen pilihan raya bukan satu masalah kerana boleh dilakukan secara dalam talian.

“Saya sebut PRU jika banjir selesai dan vaksin dimulakan.

“Saya juga sebut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) nyatakan boleh PRU dengan SOP ketat,” katanya.

Ahmad sebelum ini mengeluarkan kenyataan bahawa golongan berpendidikan tinggi dapat memahami keperluan melakukan pilihan raya umum secepat mungkin.

Beliau berkata demikian selepas menonton laporan berita memaparkan reaksi seorang pemarut kelapa yang berpandangan PRU tidak wajar diadakan buat masa ini kerana penularan Covid-19 masih berlaku. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here