KERAJAAN Persekutuan dan negeri perlu bekerjasama memastikan kebajikan setiap mangsa banjir tidak terbatas hanya dari segi penyediaan bekalan keperluan harian semasa berlindung di
pusat pemindahan sementara (PPS) sahaja.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bantuan perlu diteruskan sehingga tempoh tertentu yang difikirkan sesuai selepas mangsa banjir pulang ke rumah.
Menurutnya, ia juga melibatkan aspek lain seperti membaik pulih kediaman yang rosak dalam memastikan mangsa tidak terus berada dalam keadaan trauma akibat musibah ini.
“Saya telah meminta agar Pejabat Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta agensi kerajaan negeri dan Persekutuan segera menumpukan usaha baik pulih infrastruktur yang rosak teruk akibat banjir seperti jalan raya, masjid dan sekolah.
“Saya juga bertemu mangsa banjir termasuk warga emas yang berlindung di PPS, untuk bertanyakan keadaan kesihatan mereka. Alhamdulillah mereka baik-baik sahaja malah ada yang ditemui mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana menyediakan PPS dengan kemudahan memuaskan di samping petugas yang sentiasa memastikan pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi mengelak penularan Covid-19,” katanya melalui hantaran di Facebook rasminya hari ini.
Beliau berkata, pihaknya juga sudah mengarahkan pengurusan PPS dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) supaya menyediakan dua khemah kepada keluarga yang mempunyai bilangan lebih daripada enam orang bagi menjamin keselesaan mangsa.
Muhyiddin berkata, Temerloh dan Maran adalah dua daripada tujuh daerah di Pahang yang paling teruk dilanda banjir dan beliau mengunjungi PPS di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seberang Temerloh dan SMK Tengku Ampuan Afzan, Chenor, Maran, bagi meninjau keadaan di situ.
“Saya difahamkan di Temerloh terdapat 91 PPS yang dihuni 11,589 mangsa daripada 3,178 keluarga. Daripada jumlah itu, sebanyak 197 keluarga yang membabitkan 852 mangsa adalah dari PPS SMK Seberang Temerloh.
“Saya doakan mereka semua termasuk 53 keluarga yang kini ditempatkan di PPS SM Tengku Ampuan Afzan serta semua mangsa banjir di seluruh negara agar terhindar daripada sebarang penyakit dan dapat pulang ke rumah masing-masing dalam keadaan sihat. Insya-Allah,” katanya. – Malaysiapost

