SUAMI kepada YouTuber masakan popular terlepas hukuman penjara selepas Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini mengenakan perintah bon berkelakuan baik selama tiga tahun kerana memiliki senjata berbahaya.
Hakim Norashima Khalid menjatuhkan hukuman itu ke atas M Sugu dan menetapkan jaminan RM8,000 bagi bon berkenaan dengan seorang penjamin, lapor Harian Metro.
Norashima turut memerintahkan Sugu yang juga pekerja ladang membayar kos pendakwaan RM3,000.
Terdahulu, Sugu menukar pengakuan daripada tidak bersalah kepada bersalah atas tuduhan mengikut Seksyen 294 Kanun Prosedur Jenayah.
Dia dituduh memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah sabit berukuran 0.66 meter bertulis ‘Tiger’ di kawasan parkir Wad Paliatif Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh pada kira-kira jam 6 petang, 21 Julai 2020.
Sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 10 tahun serta sebatan.
Peguam Mohamad Hafiz Jalaludin dan Syahrul Nizam Mohd Rabi yang mewakili tertuduh sebelum itu memohon mahkamah mengenakan bon berkelakuan baik mengambil kira dia tidak pernah terlibat dalam kes jenayah mahupun gangsterism serta berjanji tidak mengulangi kesalahan itu.
Mohamad Hafiz berkata, keseluruhan kes itu berpunca daripada salah faham selain anak guamnya perlu menyara dua anak yang masih kecil dan memerlukan perhatian serta jagaan.
“Pengakuan awal (kepada mengaku bersalah) hari ini sudah menjimatkan masa dan kos, selain mengambil kira pengiktirafan yang diberi atas kejayaannya sehingga menerima anugerah Ikon Bandaraya Ipoh,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Liyana Zawani Mohd Radzi yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan mahkamah menuntut kos pendakwaan dibayar oleh tertuduh memandangkan siasatan dijalankan polis sudah lengkap.
Pada 24 Julai tahun lalu, Sugu yang juga suami kepada YouTuber masakan, S Pavithra mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut dan membuat permohonan representasi pada Oktober lalu, namun ditolak mahkamah. – Malaysiapost

