PENCAPAIAN industri sawit Malaysia tahun lalu mencatatkan peningkatan berbanding tahun 2019 khususnya prestasi eksport dan harga minyak sawit, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.
Beliau berkata, harga purata Minyak Sawit Mentah (MSM) bagi tahun 2020 meningkat ketara kepada RM2,685.50 per tan berbanding RM2,079 pada 2019.
Katanya, harga MSM berada di paras tertinggi, RM3,835.50 per tan pada 24 Disember 2020 berbanding paras terendah RM2,021.50 per tan pada 12 Mei 2020, iaitu peningkatan 89.7 peratus.
Bagi tahun 2021, beliau berkata, harga MSM dijangka mencatatkan prestasi yang lebih baik berdasarkan kepada perkembangan terkini.
“Pengeluaran MSM pada 2021 diunjurkan 19.70 juta tan berbanding 19.14 juta tan pada 2020. Ini berikutan jangkaan pengembangan kawasan tanaman sawit matang serta kesan cuaca kering yang mempengaruhi pengeluaran Buah Tandan Segar (BTS) dan seterusnya pengeluaran MSM.
“Pelaksanaan Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) secara mandatori sejak 1 Januari 2020 meliputi sektor ladang, pekebun kecil dan kilang kelapa sawit bertujuan meningkatkan pengeluaran minyak sawit mampan dan penjenamaan minyak sawit Malaysia yang menyumbang peningkatan daya saing industri itu di peringkat global.
“Pematuhan Pensijilan MSPO membuktikan pengeluaran minyak sawit Malaysia memenuhi pelbagai keperluan perundangan dan peraturan yang berkuat kuasa termasuk amalan perburuhan yang ditetapkan di peringkat antarabangsa,” katanya ketika merasmikan Palm Oil Economic Review and Outlook (R&O) Virtual Conference 2021 hari ini.
Persidangan anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) itu memberi tumpuan kepada kemajuan industri minyak sawit sepanjang 2020 dan sasaran pencapaian 2021 serta perkembangan perdagangan di peringkat global.
Mengulas lanjut, Mohd Khairuddin berkata sehingga 31 Disember lalu, seluas 5.2 juta hektar atau 88.25 peratus daripada 5.9 juta hektar kawasan yang ditanam sawit di Malaysia telah memperoleh sijil MSPO.
Katanya, sejumlah 434 kilang atau 96.02 peratus daripada 452 kilang kelapa sawit juga telah mendapat sijil MSPO.
“Bagi pekebun kecil, seluas 311,739.51 hektar (31.61 peratus) kawasan tanaman sawit persendirian telah dipersijilkan MSPO, manakala pekebun kecil tersusun di bawah FELDA, FELCRA, RISDA dan agensi kerajaan negeri telah mencapai 98.54 peratus atau seluas 671,583.90 hektar disijilkan.
“Kesemua 162 Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC) di seluruh negara telah
memperoleh sijil MSPO yang melibatkan penyertaan 94,328 pekebun kecil persendirian (37.74 peratus) dengan keluasan tanaman sawit berjumlah 369,369 hektar (38.87 peratus).
“Kementerian melalui agensi dan majlis di bawahnya akan terus mempergiatkan usaha meningkatkan penglibatan pemain industri dan pekebun kecil dalam pelaksanaan pensijilan MSPO,” katanya.
Beliau berkata, MPOB telah menyediakan kemudahan pendaftaran MSPO secara dalam talian di mspo.mpob.gov.my dan di 53 pejabat cawangan MPOB di seluruh negara.
MPOB juga katanya, memperkenalkan kaunter bergerak MSPO yang akan berada di kawasan-kawasan strategik untuk pekebun kecil mendaftar.
“Pada 2021, kementerian optimis prestasi perdagangan minyak sawit akan lebih baik berikutan ramalan positif ekonomi negara selain produktiviti yang dijangka meningkat berikutan amalan pertanian baik yang menjadi asas kepada Pensijilan MSPO,” katanya. – Malaysiapost

