SAMA ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan prosedur operasi standard (SOP) sangat ketat seperti Mac tahun lalu dilaksanakan semula, akan diketahui hari ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka membuat pengumuman khas hari ini mengenai tindakan kerajaan berhubung situasi semasa jangkitan Covid-19 yang meningkat kebelakangan ini.
Berdasarkan maklumat yang tersebar, dilaporkan PKP atau PKP Bersyarat dengan SOP lebih ketat akan dilaksanakan di beberapa negeri antaranya Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur, Sabah, Johor, Pulau Pinang serta Melaka.
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada maklumat tersebut sahih atau sekadar khabar angin.
Dilaporkan juga kebenaran merentas negeri, dan mungkin juga merentas daerah akan ditarik balik bagi mengekang penularan jangkitan Covid-19 ke seluruh negara terutama dari zon merah.
Pada 4 Januari lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perjalanan rentas sempadan daerah dan negeri serta terbabit dengan aktiviti sosial dilihat menyumbang kepada sekurang-kurangnya 14 kluster jangkitan Covid-19 sejak 7 Disember 2020.
Mengenai pengumuman oleh Perdana Menteri hari ini, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan memandang serius dan sentiasa memantau situasi semasa trend peningkatan jangkitan yang mencatat empat digit bermula hujung November 2020.
“Kerajaan sedang memperhalusi dan menilai tindakan-tindakan yang perlu diambil segera bagi mengawal penularan jangkitan Covid-19 termasuk mempertimbangkan SOP lebih ketat melibatkan sektor sosial bagi mengurangkan pergerakan dan risiko Covid-19,” katanya.
Pada 8 Januari lalu, buat pertama kali Malaysia mencatatkan kes harian tertinggi mencecah angka 3,000 sejak wabak Covid-19 melanda negara iaitu sebanyak 3,027 kes.
Sejak dua atau tiga hari lalu, dilaporkan sebahagian orang ramai telah mula membuat pembelian barangan keperluan dengan banyak dipercayai sebagai simpanan jika kerajaan mengumumkan PKP.
Susulan itu, Ismail Sabri menasihati orang ramai agar tidak panik dan jangan cepat percaya sebarang khabar angin, termasuk kononnya polis telah mula mengadakan sekatan jalan raya malam kelmarin.
Sama ada PKP dilaksanakan semula atau SOP PKPB diperketatkan, menjadi harapan orang ramai agar apa juga keputusan mengambil kira kepentingan kesihatan rakyat dan pada masa sama tidak menjejaskan kehidupan seharian rakyat dalam mencari rezeki, terutama bagi mereka yang bekerja sendiri.
Tentunya kita tidak mahu lebih ramai rakyat hilang pekerjaan, peniaga kecil hilang sumber rezeki dan ekonomi negara terus terjejas jika keputusan yang dibuat tidak mengimbangi antara keperluan ekonomi dan kesihatan. – Malaysiapost

