5 kluster baru Covid-19 dikesan

0
1

SEHINGGA kini terdapat sebanyak 586 kluster Covid-19 yang dikesan di negara ini termasuk lima kluster baharu pada hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 254 kluster.

Menurutnya, kluster baharu yang dikenal pasti hari ini adalah Kluster Tapak Bina Cyber membabitkan daerah Sepang, Petaling, Klang dan Hulu Langat, Selangor dengan 67 kes.

Katanya, Kluster Texmile di daerah Gombak, Selangor dengan 19 kes; Kluster Jalan Sibuga di Sandakan, Sabah (9); Kluster Alor Durian membabitkan daerah Tumpat dan Kota Bahru, Kelantan (17) dan Kluster Wakaf Lanas di Pasir Puteh, Kelantan membabitkan 11 kes.

“Jumlah kluster yang telah tamat pula adalah sebanyak 332 kluster termasuk tujuh kluster yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Bandar Impian, Kluster Indah Mas, Kluster Kubota, Kluster Batu Tiga, Kluster Rumah Merah, Kluster Sri Jujur dan Kluster PTS Sibuga.

“Daripada jumlah kluster yang aktif, 65 kluster melaporkan pertambahan kes hari ini.

“Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Penjara Jalan Harapan (79 kes), Kluster Rawa Akasia (73 kes) dan Kluster Beringin (65 kes),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, hari ini kes harian dilaporkan adalah sebanyak 2,433 kes menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 135,992 kes.

“Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan pula adalah 27,332 kes dan daripada jumlah kes baharu berkenaan terdapat tujuh kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara, manakala penularan dalam negara adalah sebanyak 2,426 kes.

“Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 730 kes (30.0 peratus),” katanya.

Menurutnya, dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan sembilan kes kematian Covid-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia adalah sebanyak 551 kes. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here