KETUA Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil membuat teguran terbuka terhadap Khairy Jamaluddin yang didakwa mengamalkan pendekatan politik tidak matang.
Isham menyifatkan tindakan Khairy yang suka melabelkan individual tertentu dengan pelbagai nama termasuk buah-buahan tidak ubah seperti seorang pembuli.
“Saya ingin menegur sedikit kenyataan seorang Menteri yang suka melabel orang lain itu dan ini dengan nama buah-buahan dan sebagainya seperti seorang pembuli.
“Nasihat saya ialah tidak perlu mengeruhkan keadaan sesama sendiri dalam parti terutama jika kenyataan seseorang itu disalaherti,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Isham berkata, sekiranya Khairy tidak bersetuju dengan kenyataan mana-mana pihak adalah lebih baik Ahli Parlimen Rembau itu berhujah dengan bijak.
Katanya, tindakan memanggil orang lain dengan nama tertentu hanya menjatuhkan air muka individu berkenaan.
“Jika tidak bersetuju dengan kenyataan sesiapa, berhujahlah dengan bijak dan bukan memanggil orang lain nama dan label yang menjatuhkan air mukanya.
“Berpolitiklah dengan matang,” katanya.
Semalam, Khairy menyelar Datuk Seri Ahmad Maslan yang meluahkan rasa tidak puas hati dengan Perikatan Nasional (PN) kerana masih meneruskan kes mahkamah ke atas ramai tokoh Umno.
Khairy dalam nada sinis menyifatkan kenyataan Setiausaha Agung Umno itu sebagai hanya standard pemikiran ‘pisang goreng’ .
“Kalau kita (Umno) tidak mahu sokong sebab kerajaan PN enggan mencampuri kes mahkamah yang dihadapi ramai pemimpin Umno, itu sudah taraf pemikiran pisang goreng,” katanya. -Malaysiapost

