
AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menempelak sikap Tan Sri Annuar Musa yang disifatkan sering berubah pendirian semata-mata demi kuasa dan jawatan.
Puad berkata, pendirian tidak konsisten Annuar itu dapat dilihat menerusi kenyataannya kepadanya sebelum ini termasuk dalam isu kerjasama Umno dan DAP serta Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Semua ini Annuar Musa cakap pada tahun 2018 bila Umno hilang kuasa.
“Mulanya dia merayu supaya Anwar Ibrahim selamatkan Malaysia.
“Lepas tu dia kata Umno boleh berkawan dengan DAP. Masa tu dia bukan Menteri. Baru hilang jawatan Menteri.
“Mungkin tak sabar-sabar nak jadi Menteri semula. Sekarang dah jadi Menteri semula. Tiba-tiba “No Anwar No DAP”. Kenapa?,” soalnya.
Jelas beliau, Ahli Parlimen Ketereh itu hanya pentingkan kuasa bukannya mahu menyelamatkan negara.
“Bukan nak selamatkan Malaysia tapi nak selamatkan Bersatu yang bagi dia jawatan Menteri,” katanya.
Dalam hantaran sama, Puad turut menyertakan artikel mengenai keterbukaan Annuar berhubung kerjasama Umno dengan parti lain termasuk DAP yang dilaporkan media pada 2018.
Rabu lalu, Annuar mengesahkan Umno kini bersiap untuk bekerjasama dengan DAP untuk membentuk kerajaan baharu.
Beliau turut mendedahkan surat dikeluarkan oleh pemimpin tertinggi Umno yang menyatakan sokongan terhadap Anwar yang juga merupakan Presiden PKR adalah tulen.
Pada masa sama, Annuar turut memaklumkan pendiriannya untuk tidak bersubahat dengan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas mendapati terdapat gerakan yang tidak selari dengan keputusan rasmi Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, antara punca beliau dipecat sebagai Setiausaha Agung BN. -Malaysiapost
