276 dikompaun, 1 direman ingkar arahan PKP

0
1

Nurul Huda Abhar

POLIS menahan 277 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah tersebut 276 telah dikompaun manakala seorang direman.

“Antara kesalahan ingkar SOP termasuk gagal menyediakan peralatan merekod butiran diri (102), tidak memakai pelitup muka (67), aktiviti pusat hiburan (64), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (43), dan lain-lain (1).

“Semalam, Op Benteng telah berjaya menahan 26 pendatang asing tanpa izin (PATI) serta merampas sembilan buah kenderaan darat dalam operasi yang diadakan di seluruh negara,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Ismail Sabri berkata, bagi memperkukuh kawalan sempadan di Pulau Ketam, Selangor, kerajaan juga bersetuju dengan cadangan National Task Force (NTF) untuk membina Pos Terapung (Floating Barge) Gabungan Keselamatan di Pulau Ketam.

Tambahnya, ianya memandangkan berlaku peningkatan kemasukan dan tangkapan PATI yang ketara dari tahun 2019 dan 2020.

Beliau berkata, pada 2019 seramai 328 PATI telah ditangkap di Pulau Ketam dan sebanyak 21 rampasan dibuat dengan nilaian RM2,344,573.

“Namun jumlah ini terus meningkat pada 2020 dengan seramai 2,002 PATI telah ditangkap dan 207 rampasan dibuat dengan nilai RM 11,736,918.87.

“Orang ramai diminta untuk menghubungi hotline National Task Force di talian 011 6251 1223 untuk terus menyalurkan maklumat berkenaan PATI dan jenayah rentas sempadan,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here