Nurul Huda Abhar
MALAYSIA mencatat jumlah kematian akibat Covid-19 paling tinggi hari ini dengan 16 kes direkodkan.
Sementara, sebanyak 2,643 kes harian jangkitan Covid-19 dicatatkan menjadikan jumlah kes positif di Malaysia sebanyak 131,108 kes.
Ia sekali gus menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah sebanyak 25,140 kes.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kenyataan berkata, daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat dua kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala, penularan Covid-19 dalam negara pula adalah sebanyak 2,641 kes.
“Bagi kes penularan di dalam negara, 1,666 kes adalah warganegara Malaysia (63 peratus) dan 975 kes adalah bukan warganegara.
“Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,086 kes (41.1 peratus). Daripada jumlah ini, sebanyak 904 kes (83.2 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan.
“Ini diikuti oleh Sabah sebanyak 401 kes (15.2 peratus) dan Johor sebanyak 298 kes (11.3 peratus),” kata kenyataan tersebut, hari ini.
Sementara itu, sebanyak 79 kes (3.0 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (73 kes), Kluster Pagar Siput (3 kes), Kluster Tembok Choh (2 kes), dan Kluster Tembok Gajah (1 kes).
Selain itu, dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan 16 kes kematian pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 537 kes (0.41 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).
“Untuk makluman, peningkatan kes-kes kematian pada hari ini adalah berikutan terdapat kes-kes yang memerlukan tempoh masa tertentu untuk siasatan lebih lanjut dijalankan sebelum kematian tersebut disahkan adalah disebabkan oleh Covid-19.
“Sehingga kini, terdapat 170 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 82 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya. -Malaysiapost

