Syarikat tempatan kuasai 80 peratus KDA FC

0
1

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Muhammad Sanusi Md Nor mengesahkan 80 peratus saham Kelab Bola Sepak Kedah Darul Aman (KDA FC) bakal diberikan kepada syarikat Go Auto Group dan Flumen Holding Sdn Bhd.

Sanusi berkata, syarikat berkenaan datang memberi taklimat berkaitan dengan pelaburan kenderaan berteknologi berasaskan elektrik. Pelaburan tersebut dijangka anggaran RM1.5 bilion.

“Pemilihan kedua-dua syarikat (Go Auto Group dan Flumen Holdings Sdn Bhd) ini berdasarkan rekod dan potensi kewangan, perancangan pembangunan perniagaan bola sepak yang membawa nilai dan aktiviti pelaburan berimpak tinggi kepada negeri.

“Pemilik syarikat ini juga adalah anak jati Kedah selain ada dalam kalangan mereka berpengalaman dalam pengurusan sukan bola sepak sebelum ini,” katanya menerusi Facebook KDA FC.

Menteri Besar Kedah itu berkata, sebagai balasan, kerajaan negeri telah bersetuju untuk memberikan tanah keluasan 300 hektar di Sungai Petani untuk pembinaan kilang syarikat itu.

“Secara dasarnya kerajaan bersetuju untuk kemasukan pelabur ini dan kita bersedia memberi laluan tanah PKNK keluasan 300 hektar di Sungai Petani dan kita bersedia untuk berunding dengan lebih lanjut dengan syarikat terbabit untuk membawa masuk teknologi terbaru khususnya kenderaan berasaskan elektrik ke negeri Kedah.

“Syarikat ini juga bersetuju untuk mengambil alih KDA FC 80 peratus yang kita tawarkan kepada syarikat-syarikat berminat untuk memiliki syarikat bola sepak di Kedah ini,” katanya.

Bagaimanapun, KFA tetap memiliki saham sebanyak 20 peratus dan mereka akan memberi fokus kepada pembangunan akar umbi dan saingan liga anjuran badan induk itu. Manakala urusan kelab akan diberikan kepada gabungan dua syarikat tersebut.

Namun begitu, Sanusi tidak dapat menyatakan jumlah yang tepat mengenai pelaburan dua syarikat tersebut pada musim ini dan beliau menyasarkan RM25 juta untuk pembiayaan pasukan. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here