JABATAN Pendaftaran Pertubuhan (ROS) dilaporkan menolak pendaftaran Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menerusi laporan The Edge, ROS menghantar surat menolak pendaftaran parti yang ditunjangi bekas Perdana Menteri itu semalam.
Perkara itu disahkan oleh peguam Pejuang, Muhammad Rafique Rashid Ali yang mengatakan bahawa mereka menerima surat dari ROS pada jam 5.45 petang semalam.
Sebelum ini dilaporkan, Dr Mahathir memohon semakan kehakiman untuk memaksa ROS membuat keputusan berhubung status pendaftaran parti itu.
Semakan itu untuk memohon perintah mandamus daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk meluluskan atau sebaliknya pendaftaran parti berkenaan secara rasmi sebagai parti politik di bawah Akta Pertubuhan 1966.
Ia juga bertujuan mendapatkan deklarasi daripada mahkamah bahawa kegagalan Ketua Pengarah dan ROS untuk menjawab sebarang permohonan atau komunikasi bertulis adalah tidak munasabah dan mempunyai niat mala fide untuk melengah-lengahkan pendaftaran Pejuang.-Malaysiapost

