‘Zahid beri sokongan bertulis kepada Anwar, berunding dengan DAP’ – Annuar Musa

0
1

PUNCA utama bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa dipecat dari jawatannya semalam adalah percangahan prinsip dengan Pengerusi BN, Datuk Seri Zahid Hamidi.

Perkara itu didedahkan oleh Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan dalam sidang media dipejabatnya hari ini

Annuar berkata, tindakannya menentang Zahid yang juga Presiden Umno memberi sokongan secara hitam putih kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah antara punca dia dipecat.

“Keharmonian dan keyakinan antara saya dan pengerusi sejak kebelakangan ini sudah berubah berikutan beberapa perkara, peristiwa dan juga dasar-dasar yang menuntut saya mempertahankan prinsip dan pendirian politik saya secara tegas serta berterus terang.

“Antara perkara berkenaan adalah apabila saya mendapat maklum dan dapat mengesahkan satu sokongan secara hitam putih telah diberikan oleh Pengerusi BN yang juga Presiden Umno kepada Anwar Ibrahim untuk menjatuhkan kerajaan PN yang juga dianggotai oleh BN.

“Pada saya ini satu benda yang sangat berat dan besar, tetapi saya dan rakan-rakan memilih untuk tidak membangkitkan perkara ini kerana kita harap ia tidak bawa permasalahan atau konflik kepada parti,” katanya.

Namun, Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, beliau tidak dapat menyembunyikan pendiriannya yang berpandangan sokongan bertulis dialamatkan kepada Yang di-Pertuan Agong dengan menyatakan sebahagian wakil rakyat BN berjanji setia kepada Anwar dan menyokong kerajaan dijatuhkan adalah terlalu berat serta tidak dapat menyokong perkara itu.

“Ini adalah terlalu prinsip kerana ia menjadi keputusan rasmi diperingkat parti namun ia tanpa pengetahuan parti hanya dilakukan oleh seorang Pengerusi dan saya tidak dapat menerimanya.

“Saya juga dapat berita secara sahih tempat dan tarikh percubaan serta rundingan yang membabitkan parti DAP dalam apa yang diistilahkan membentuk jajaran baru.

“Ini bukan soal sokong atau tidak DAP tetapi sebagai setiausaha agung saya berpegang kepada keputusan parti sehingga parti mengubah maka keputusan yang ada adalah kekal tidak ada sebarang bentuk kerjasama atau cubaan membentuk kerjasama dengan DAP, ” katanya.

Beliau mendedahkan, surat sokongan yang diberikan oleh Pengerusi BN itu adalah bertarikh 11 Oktober 2020 manakala antara tarikh perjumpaan dan perbincangan yang dilakukan dengan DAP adalah pada 17 Oktober 2020.

Semalam, Annuar dipecat daripada jawatan Setiausaha Agung BN dan jawatan itu kini disandang Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here