‘Umno rakus kuasa, ketepikan nasib rakyat yang terhimpit akibat Covid-19’

0
1

Nurul Huda Abhar

UMNO semakin terdesak untuk mendapatkan kuasa sehingga sanggup bertindak untuk menggulingkan kerajaan dan mengenepikan kebajikan rakyat. 

Setiausaha Wanita Parti Perikatan Nasional (PN), Haniza Talha berkata, kerakusan Umno ini ditunjukkan tatkala rakyat dan negara berdepan cabaran Covid-19 dan bencana banjir yang menyulitkan keadaan. 

Katanya, sikap mementingkan diri parti itu bukan sahaja memberi kesan kepada kerajaan tetapi juga kepada rakyat. 

“Rakyat sewajarnya tolak kerakusan ahli politik Umno yang mementingkan diri daripada membantu kesusahan yang dihadapi rakyat. 

“Tindakan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan partinya jelas melanggar titah Yang Dipertuan Agong yang mahu semua ahli politik mengenepikan perbezaan dan bersama kerajaan dalam memerangi pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Haniza yang juga Adun Lembah Jaya berkata, Umno sepatutnya perlu kembali kepada fitrah untuk membantu rakyat dan tidak terdesak untuk menyelamatkan diri, mahukan jawatan dan gila kuasa sehingga negara menjadi huru-hara.

“Sia-sia segala usaha pemimpin utama negara mahupun ‘frontliner ‘kita yang berusaha mengurangkan jangkitan kes Covid-19, semua ini dimusnahkan sebab politik yang semakin memburuk ini,” ujarnya lagi.

Umno hari ini akan membincangkan mengenai langkah parti itu sama ada akan keluar daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan dalam kenyataan memaklumkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) akan membincangkan segala kemungkinan daripada setiap sudut.

Katanya, seperti mana dimaklumkan Setiausaha Agung Umno (Datuk Seri Ahmad Maslan), lebih 140 bahagian mengusulkan menolak kerjasama dengan Bersatu. – Malaysiapost

Foto Kredit: The Star

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here