PENGURUSAN Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan akan berlaku gangguan bekalan air berjadual membabitkan kawasan Shah Alam, Klang dan Petaling bermula 12 Januari ini.

Notis pemberitahuan mengenai gangguan bekalan air itu dikeluarkan Air Selangor dalam satu kenyataan hari ini susulan kerja-kerja pengalihan dan penyambungan paip baru di kawasan berkenaan.
Menurut kenyataan itu, kerja-kerja pengalihan dan penyambungan paip berdekatan sebuah kilang di Persiaran Selangor Seksyen 15, Shah Alam akan dilaksanakan bermula jam 9 pagi 12 Januari ini.
“Berikutan itu sebanyak 22 kawasan di Shah Alam, empat kawasan di Klang dan 10 kawasan Petaling akan mengalami gangguan bekalan air berjadual.
“Bekalan akan pulih sepenuhnya pada 9 pagi 14 Januari 2021,” katanya kenyataan itu.
Air Selangor turut memaklumkan tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan.
“Pengguna dinasihatkan menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemat sepanjang tempoh gangguan berjadual ini.
“Pelaksanaan kerja-kerja ini akan membolehkan sistem pengagihan bekalan air sentiasa berada dalam keadaan optimum.
“Penambahbaikan infrastruktur paip ini juga adalah sebahagian usaha Air Selangor dalam meningkatkan pengalaman perkhidmatan terbaik demi keselesaan pengguna di masa hadapan,” katanya.
Maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman sesawang Air Selangor di www.airselangor.com atau merujuk di saluran komunikasi rasminya seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.
-Malaysiapost

