Guan Eng kecam tuduhan Annuar wujud kerjasama Umno-DAP

0
1

SETIAUSAHA Agung DAP, Lim Guan Eng menolak dakwaan Tan Sri Annuar Musa bahawa pemimpin Umno dan parti itu sedang berbincang serta bersiap untuk bekerjasama.

Beliau menempelak bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu kerana membuat cerita mengenai kerjasama Umno-DAP yang tidak wujud.

Beliau berkata, tindakan Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan cuba menunjukkan dirinya seorang “desperado” apabila mengheret DAP dalam kemelut politiknya dengan Umno.

“Jangan heret kami dalam isu ini, jangan gunakan kami sebagai alasan untuk menyelamatkan politik kamu. (Perbuatan) ini salah dan tidak jujur,” katanya seperti dilaporkan FMT.

Mengakui ada menyapa pemimpin Umno di Parlimen, Guan Eng berkata, beliau hanya berbual biasa dengan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Menurutnya, kerjasama politik DAP bersama Umno tidak mungkin terjadi kerana perbezaan ideologi.

Secara realiti katanya, dia lebih banyak berbual dengan Annuar berbanding Ahmad Zahid dan Najib.

Pada sidang media awal hari ini, Annuar telah mendedahkan Ahmad Zahid bersekongkol dengan pemimpin pembangkang serta Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP untuk menggulingkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Memetik laporan Malaysiakini, Guan Eng menjangkakan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) akan bermesyuarat minggu depan untuk membincangkan keadaan politik semasa.

Bagaimanapun, katanya, itu cuma pertemuan bulanan biasa yang dijadualkan diadakan minggu depan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here