Usul tolak kerjasama Umno-Bersatu akan dibawa ke PAU – Ismail Sabri

0
1

UMNO dijangka akan membawa usul menolak kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ke Perhimpunan Agung Umno tahun ini.

Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata parti itu akan turut membincangkan usul menolak kerjasama Umno dengan PKR dan DAP.

“Umno mempunyai perlembagaan dan peraturan jelas dan sewaktu mesyuarat perwakilan bahagian, ahli bebas dan berhak suarakan pandangan mengenai parti.

“Ada juga usul tolak kerjasama DAP dan PKR, ‘No DAP No Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) ‘. Begitu juga memperkukuhkan kerjasama dengan PAS.

“Banyak bahagian juga kemuka usul memperkukuh Muafakat Nasional,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Semalam, media melaporkan Umno akan mengadakan pertemuan khas bersama ketua bahagian parti itu, hari ini bagi membincangkan usul menolak kerjasama dengan Bersatu.

Umno mengadakan mesyuarat bahagian yang berlangsung serentak di seluruh negara pada Jumaat hingga Ahad lalu, dengan sebahagian besar bahagian termasuk sayap parti itu mengusulkan supaya Umno menolak kerjasama dengan Bersatu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Mengulas lanjut, Ismail Sabri yang juga Menteri Kanan (Keselamatan) berkata, parti turut menerima usul memperkukuh kerjasama dengan PAS selain memperkasakan peranan orang Melayu.

“Banyak usul bukan hanya satu. Usul di bahagian akan dibawa ke mesyuarat Majlis Tertinggi parti.

“Majlis Tertinggi akan serahkan usul kepada pengerusi jawatankuasa usul yang akan melihat usul itu untuk dibincang dan diserah kepada jawatankuasa. Saya percaya akan dibentangkan dalam PAU nanti,” katanya.

Ismail Sabri berkata, setiap usul yang diluluskan dalam PAU akan menjadi dasar parti.

“Apabila menjadi dasar, ahli parti perlu patuh. Ini prosedur UMNO dan setiap tahun ini yang kita buat. Apa (usul) yang diputuskan menjadi dasar tidak boleh diubah kecuali (diadakan) mesyuarat agung luar biasa.

“Esok Majlis Tertinggi akan bermesyuarat dan hujung Januari ini diadakan PAU. Umno mendukung demokrasi dan ahli berhak beri pandangan waktu mesyuarat bahagian,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here