MCA menzahirkan rasa terkilan dengan pemecatan Tan Sri Annuar Musa sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN).
MCA dalam satu kenyataan berkata, keputusan memecat Annuar tidak pernah dirundingkan sesama parti komponen atau diputuskan dalam Dewan Tertinggi BN.
“Setakat ini, MCA masih tidak dapat mengesahkan kesahihan berita mengenai penyingkiran Annuar sebagai Setiausaha Agung BN.
“Pada hemat MCA, sebarang pelantikan ke jawatan dalam BN, ia perlu dibuat berlandaskan Perlembagaan BN dan secara konvensyennya pencalonan ini haruslah dibentangkan serta dipersetujui secara konsensus dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN.
“Begitu juga dengan sebarang pemecatan mana-mana pihak daripada jawatan seperti Setiausaha Agung dan Bendahari Agung BN,” menurut kenyataan itu, hari ini.
MCA berkata, setakat ini parti itu masih belum mendapat sebarang notis berhubung Mesyuarat Dewan Tertinggi BN dan disebabkan itu tiada ulasan lanjut yang boleh dibuat ketika ini.
Terdahulu, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh dipecat sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN).
Jawatan itu diambil alih oleh Setiausaha Agung Umno, Datuk Ahmad Maslan.
Keputusan itu dibuat dalam pertemuan khas Ketua Bahagian Umno yang diadakan di ibu pejabat Umno di Menara Dato’ Onn, hari ini. -Malaysiapost

