BEKAS isteri pelakon Fizo Omar, Mawar Karim dan anak mereka, Wan Maryam berusia dua tahun disahkan positif Covid-19.
Perkara itu disahkan sendiri oleh Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar, 36.
Fizo memaklumkan Mawar dan anaknya kini dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sejak 2 Januari lalu.
“Bila saya dimaklumkan bahawa kedua-duanya positif Covid-19, badan saya terus berasa lemah. Rasa nak terduduk kerana terkejut dengan berita tersebut.
“Setakat ini Mawar sahaja yang menunjukkan simptom iaitu batuk-batuk. Manakala Maryam pula tidak mengalami sebarang gejala,” katanya seperti dilapor Kosmo.
Selain Mawar dan Maryam, terdapat beberapa kontak rapat mereka turut disahkan positif termasuk seorang jurusolek yang pernah berhubung dengannya.
Menurut pelakon filem 7 Petala Cinta itu, dia telah melakukan ujian calitan Covid-19 kerana pernah berjumpa dengan anaknya sekitar seminggu lalu.
“Alhamdulillah keputusan yang diterima adalah negatif. Namun sebagai bapa, saya berasa sangat sedih apabila anak saya yang masih kecil disahkan positif terutama apabila melihat Maryam menaiki ambulan bersama ibunya.
“Saya tidak boleh berbuat apa-apa dan mendoakan yang terbaik kepada Allah SWT supaya kedua-duanya selamat. Sekarang ini pun setiap masa saya selalu membuat panggilan video dengan mereka,” katanya.
Fizo menjelaskan, dia tidak tahu bagaimana Mawar dan Maryam dijangkiti wabak tersebut.
“Perkara seperti ini jangan diambil mudah walaupun kita telah menjaga diri dan mengamalkan prosedur operasi standar (SOP). Kadang-kadang kita rasa seperti sudah menjaga SOP sebaiknya, namun kita alpa,” katanya.
Dalam pada itu, pemilik empayar jenama tudung Fareeda itu telah memuat naik sekeping foto bersama anaknya di InstaStory menaiki ambulan.
Mawar dalam hantaran di Instagramnya turut memohon semua pihak mendoakan kesihatan dia dan anaknya.
“Mawar & Maryam. Double M 💪 strong fighter. Come on Maryam keep strong 💪.
“Thanks a lot semua yang mendoakan saya dan Maryam,” tulisnya. -Malaysiapost

