TAN Sri Annuar Musa tidak dipecat dari jawatan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) tetapi digantikan, kata Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Ahli Parlimen Pontian itu berkata, mengikut peraturan beliau yang menyandang jawatan itu dari awal lagi.
“Biasanya Setiausaha Agung Umno ini juga adalah Setiausaha Agung BN, dan saya juga diberi tugas sebagai Setiausaha Agung Muafakat Nasional (MN).
“Dakwaan Annuar dipecat tidak benar. Dia tidak dipecat, dia digantikan,” katanya seperti dilapor Malaysia Gazette.
Sementara itu, ditanya adakah penggantian itu disebabkan Annuar dilihat seperti pro kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), beliau bagaimanapun enggan mengulas.
“Saya tak mahu ulas perkara itu. Presiden parti mengucapkan terima kasih kepada Annuar atas khidmat dan sumbangannya sepanjang memegang jawatan itu,” katanya. -Malaysiapost

