Tuduhan Nazri karut, Bersatu lapor polis

0
1

“ITU tuduhan karut. Bersatu Perak menafikan hal itu,” sangkal Setiausaha Bersatu Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap Ketua Umno Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abd Aziz yang mendakwa Bersatu menawarkan RM20,000 kepada segelintir ahli Umno bagi menubuhkan cawangan Bersatu di Perak.

Zainol berkata, dakwaan Bersatu Perak menawarkan habuan wang kepada segelintir ahli Umno untuk menubuhkan cawangan Bersatu di negeri itu tidak benar sama sekali.

“Sepanjang dalam pengetahuan saya, tidak pula kami membuat tawaran sebegitu kepada ahli Umno.

“Saya pun terkejut sebab baru tahu ini,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini hari ini.

Ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Padang Rengas, Mohamed Nazri berkata, tawaran itu dibuat susulan Bersatu kekurangan ahli di peringkat akar umbi.

Ahli Parlimen Padang Rengas mendakwa, perkara itu menjadi faktor mengapa Umno enggan bekerjasama dengan Bersatu pada pilihan raya umum (PRU 15) akan datang.

Dalam pada itu, Zainol berharap Mohamed Nazri tidak lagi membuat dakwaan secara awam dan melulu.

“Harapnya dia (Nazri) selepas ini tidak buat kenyataan secara terang-terangan dan melulu. Yang penting kami memang nafikan dakwaan itu,” katanya lagi.

Justeru, untuk mengelak ia berulang, Zainol memaklumkan Bersatu Padang Rengas akan membuat laporan polis berhubung dalam masa terdekat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here