Kartel daging: Pengarah, tiga pekerja direman 4 hari

0
1

SEORANG pengarah dan tiga pekerja sebuah syarikat pengimport daging sejuk beku di Johor Bahru, direman empat hari bermula hari ini.

Perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Johor Bahru, Nur Izzaty Muhammad Zahari, selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor membuat permohonan berkenaan, pagi tadi.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias, berkata mereka yang direman berusia antara 39 hingga 50 tahun.

“Empat yang direman berkenaan membabitkan pengarah, pengarah operasi, kerani syarikat sebuah syarikat pengimport daging sejuk beku serta seorang lagi pengarah syarikat lain.

“Mereka ditahan di pejabat SPRM Johor malam tadi bagi membantu siasatan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009,” katanya seperti dilapor BH.

Azmi berkata, SPRM akan bekerjasama dengan beberapa agensi lain termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Veterinar, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), dalam menjalankan siasatan menyeluruh berkenaan isu kartel daging import.

Katanya, SPRM memandang serius perkara itu yang membabitkan isu kepentingan rakyat khususnya umat Islam di negara ini.

Pagi tadi media melaporkan empat individu membabitkan pengarah dan pekerja syarikat pengimport daging sejuk beku ditahan SPRM Johor kerana disyaki terbabit kegiatan rasuah berhubung isu aktiviti penyeludupan bahan mentah sejuk beku dari negara yang dilarang untuk dibawa masuk ke Malaysia.

Semua suspek berusia 39 hingga 50 tahun terbabit ditahan di pejabat SPRM Johor, malam tadi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here