Najamuddin Mohd Nor
BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyifatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) bukanlah model kerajaan yang baik untuk rakyat dan negara dalam jangka masa panjang.
Meskipun Umno dan Barisan Nasional (BN) berada dalam kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, namun Najib mendakwa situasinya berbeza ketika zaman Umno berkuasa yang menjadi tunjang kepada kestabilan politik negara.
Najib menegaskan, kerajaan yang mempunyai kestabilan politik mampu memacu lebih banyak kejayaan kepada negara seperti dibuktikan Umno sejak enam dekad menguasai tampuk pemerintahan negara.
“Model yang ada pada kerajaan pada hari ini tidak akan mendatangkan kebaikan kepada negara dalam jangka panjang
“Negara mencapai kejayaan sepanjang enam dekad, pertama buat negara, walaupun kerajaan Perikatan dan Barisan Nasional (BN) ialah kerajaan ‘coalition’ tetapi Umno merupakan tunjang, teras dan penentu.
“Keadaan itu menyebabkan kestabilan wujud dan pembangunan mampu berterusan berbeza dengan keadaan semasa,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Pekan hari ini.
Najib turut memberi contoh beberapa syarikat gergasi dunia seperti Tesla, Amazon dan Google dipercayai telah mula melabur ke Indonesia dan tidak memilih Malaysia ekoran ketidakstabilan politik.
Bekas Presiden Umno itu juga melahirkan kebimbangan mengenai kedudukan parti itu yang diibarat melukut di tepi gantang dalam kerajaan PN.
“Semakin lama kita berada dalam keadaan sekarang maka semakin jatuh sokongan rakyat kepada kita.
“Hari ini kita tidak lagi menjadi penentu kepada dasar dasar negara. Jawatan yang berkaitan dengan ekonomi dan kewangan tidak dipegang oleh menteri-menteri Umno.
“Sebarang kejayaan kerajaan dikredit kepada orang lain bukan kepada parti kita, manakala sebarang kegagalan kerajaan merupakan kegagalan politik,” katanya.
Ketidakstabilan politik negara tercetus pada 29 Februari tahun lalu susulan perubahan tampuk pemerintahan kerajaan. – Malaysiapost

