‘Curi’ ahli Umno: Asyraf Wajdi tak perlu tarik balik kenyataan

0
1

TIADA keperluan untuk Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menarik balik kenyataannya bahawa Bersatu ‘mencuri’ dan ‘membeli’ ahli Umno.

Ia selepas Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan mendesak supaya Ashraf Wajdi menarik balik kenyataan tersebut.

Exco Pemuda Umno, Azril Rizal Yuosf Mohd Sarit berkata umum mengetahui dan bukan rahsia lagi bahawa hubungan kedua-dua parti itu di peringkat akar umbi ketika ini ibarat retak menanti belah.

“Justeru, tiada kewajaran bagi Asyraf untuk memohon maaf dalam hal ini. Tiada angin, masakan pokok bergoyang. Tentu kenyataan beliau dinyatakan dengan penuh pertimbangan dan kebertanggungjawaban. Jadi, siapa yang makan cili, dialah yang terasa pedasnya.

“Ugutan saman yang cuba dikemukakan Ketua Penerangan Bersatu hanyalah membuang masa.

“Sepatutnya sebagai parti yang dilihat dapat mempengaruhi keputusan kerajaan dengan lebih baik, terutama apabila jawatan Perdana Menteri dan ramai Menteri Kanan pun dari Bersatu, ia patut fokus meningkatkan kesejahteraan rakyat di kala pandemik ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Azril Rizal berkata, Wan Saiful sepatutnya berusaha melancarkan siasatan dalaman dalam Bersatu sendiri, bukan mengugut untuk saman Ketua Pemuda Umno yang dikhuatiri nanti ugutan melalui saman itu boleh jadi ‘senjata makan tuan’..

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor berkata perbuatan mencuri keahlian Umno ke Bersatu ini bukan isu baru.

“Nasihat kami, jika mahu rekrut ahli sekalipun, buatlah secara matang. Jangan dipaksa dan diberi habuan itu dan ini.

“Pemuda Umno Kelantan bimbang, tidak mustahil satu hari nanti Bersatu juga boleh mencuri ahli PAS sekiranya tidak dibendung.

“Ini berbeza semangat ditunjukkan Umno dan PAS Kelantan apabila kita bersetuju untuk tidak menerima mana-mana bekas ahli Umno dan PAS untuk menjadi ahli parti demi menjaga kerukunan hubungan Muafakat Nasional di Kelantan,” katanya.

Sebelum ini, Bersatu memandang berat tuduhan Ketua Pemuda Umnno bahawa parti tersebut mencuri dan membeli ahli-ahli Umno.

Ketua Penerangannya, Wan Saiful Wan Jan berkata, tindakan Asyraf Wajdi menyebut “setiap yang menyertai Bersatu dibayar sehingga RM100, setiap cawangan yang ditubuh diperuntukkan RM3,000 sehingga RM5,000” tidak dapat diterima sama sekali.

“Saya dengan tegas menafikan tuduhan liar tanpa bukti ini. Saya menuntut Dr Asyraf Wajdi memohon maaf dan menarik balik tuduhan tersebut serta-merta.

“Saya juga akan berbincang dengan parti mengenai kesesuaian mengambil tindakan undang-undang dalam hal ini,” katanya dalam kenyataan di Facebook. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here