HUJAN lebat berterusan di Pahang yang mengakibatkan banjir kilat menyebabkan laluan di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) di negeri itu terhalang pagi ini.
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan laluan yang terjejas ialah di kedua-dua arah timur dan barat di Kilometer (km) 198 membabitkan semua lorong.
“Kejadian limpahan air di km 198 arah Timur dan Barat, Gambang ke Sri Jaya. Kesemua lorong kecemasan, perlahan dan laju di kedua-dua arah terhalang. Cuaca hujan. Trafik perlahan. Hati-hati memandu,” tulis LLM menerusi Facebook.
Dalam hantaran berasingan, LLM memaklumkan pada jam 10.24 pagi, laluan antara Persimpangan Sri Jaya hingga Persimpangan Gambang masih ditutup di kedua-dua arah ekoran dinaiki air sedalam dua kaki.
“Pengguna yang ingin ke Kuantan dan ke Kuala Lumpur dimohon untuk tangguhkan perjalanan buat sementara waktu,” katanya.
Sementara itu, Polis Pahang menerusi kemaskini di Facebooknya menasihatkan pengguna jalan raya agar berhati-hati.
“Keadaan jalan raya di lebuh raya kawasan Gambang sedang dinaiki air. Rancang perjalanan mengikut keadaan semasa,” katanya.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca bahaya dan buruk, dengan hujan lebat berterusan di beberapa kawasan di Pahang.
MetMalaysia memaklumkan amaran cuaca bahaya dengan hujan lebat berterusan dijangka berlaku hari ini di daerah Pekan dan Rompin.
Menurut kenyataan itu, amaran cuaca buruk dengan hujan lebat berterusan pula melibatkan daerah Raub, Bentong, Temerloh, Maran, Kuantan dan Bera. – Malaysiapost

