Isu ‘curi’ dan ‘beli’: Umno takkan mohon maaf pada Bersatu- Shahril

0
1

UMNO tidak perlu mohon maaf kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), sebaliknya perlu memperkuatkan parti sendiri agar tidak diperkotak-katik oleh parti lain, kata Ketua Penerangan Umno Malaysia, Shahril Hamdan.

Kenyataan itu dibuat susulan desakan Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan agar Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi memohon maaf atas kenyataannya yang mendakwa bahawa ada usaha parti tersebut mengambil ahli Umno bagi membantu menambah keahlian mereka.

“Tidak ada sebab untuk Dr Asyraf mohon maaf kerana soal Bersatu mengambil ahli Umno ini sudah jelas.

“Kalau lihat di Parlimen, berapa peratus Ahli Parlimen Bersatu yang datang dari Umno?

“Kalau lihat di peringkat Bahagian, berapa ramai pimpinan bahagian yang datang dari Umno?

“Soal bayaran, habuan dan sebagainya – jika Dr Asyraf disaman di mahkamah, saya yakin beliau sedia mengemukakan buktinya,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, semua ini tidak sedikit pun menghakis penghargaan Umno kepada akar umbi yang kekal setia bersama parti waktu susah dan senang.

Jelas Shahril, sebagai menzahirkan penghargaan tersebut, Umno mesti terus memperkukuh kekuatan sendiri supaya tidak boleh diperkotak-katik oleh parti lain.

“Ada pihak yang akan sentiasa mahu melihat Umno lemah dan dilemahkan.

“Kita tak terkejut dengan senario itu – sebaliknya terus mencari jalan memastikan parti ini menjadi pilihan utama rakyat Melayu dan Malaysia amnya.

“Jika kita tak kuatkan parti, jika kita asyik bergaduh sesama sendiri, jika kita tak siapkan tawaran menarik untuk rakyat – maka kita tak boleh salahkan orang lain jika mereka memintas kita. Kerana itulah lumrah politik,” ujarnya.

Katanya, musim persidangan ini, Umno akan fokus kepada agenda yang dibawah kawalan kita dan tidak dipacu oleh agenda atau helah orang lain.

Sebelum itu, Dr Asyraf menerusi Facebook, meminta Bersatu menerima nasihatnya dengan berlapang dada agar dihentikan segera sebarang usaha ‘membeli’ atau ‘mencuri’ ahli.

“Kerana akan mengeruhkan hubungan bahkan tidak akan membantu memperkukuhkan hubungan kerjasama Umno-Bersatu.

“Sejujurnya saya mengharapkan jawapan sekurang-kurangan ‘Kami akan menyiasat dakwaan yang dibuat Pemuda Umno’ bukannya mengugut untuk menyaman,” katanya.

Sebagaimana beliau menyatakan dalam kenyataan iaitu terlalu banyak aduan akar umbi Umno seluruh Malaysia yang mendakwa berlakunya persaingan sehingga berlaku usaha membeli dan mencuri ahli.

“Justeru jika Ketua Penerangan Bersatu mahu meneruskan saman, kami Pemuda Umno mengalu-alukannya dan akan mengambil peluang di Mahkamah nanti untuk mendedahkan segala bukti-bukti di hadapan Hakim kelak,” tegasnya.-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here