UMAT Islam perlu amalkan konsep ‘Tabayyun’ iaitu selidik dan teliti dahulu sesuatu perkara sebelum membuat solusi agar tidak mudah menjatuhkan hukum kepada orang lain.
Dalam khutbah Jumaat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bertajuk ‘Tabayyun dalam zaman Informasi’ menjelaskan dalam era perkembangan teknologi dan informasi yang sangat pesat kini, kehidupan manusia sangat tergantung pada teknologi.
Hampir semua aktiviti kehidupan manusia
tidak lepas dari kemudahan-kemudahan yang dihasilkan dari perkembangan teknologi.
Perubahan pola kehidupan manusia ini tentunya membawa pengaruh, baik positif mahupun negatif, sehingga memerlukan persediaan mental dan spiritual pada setiap individu.
Tanpa persediaan yang benar, kita akan terumbang-ambing dengan pelbagai informasi yang rancak membanjiri dunia maya, khususnya dalam media sosial.
Kebanjiran informasi menuntut kita untuk lebih cermat memilih sumber informasi yang benar-benar sah dan boleh menjadi rujukan dalam menentukan langkah kehidupan.
Allah SWT berfirman dalam Surah al-Hujurat ayat 6 seperti bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa
sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”
Sikap dan tanggungjawab seorang mukmin apabila menerima sesuatu berita ialah
memastikan bahawa berita yang diterima itu adalah benar dan tepat.
Selain itu, setiap mukmin mestilah bersikap tenang tanpa tergesa-gesa; mengawal diri, dan tidak mudah melenting.
Kita juga tidak boleh terburu-buru dengan terus mempercayai segala informasi yang kita terima.
Kita perlu menyelusuri siapa, dari mana, dan atas motif apa berita tersebut muncul dengan bertabayyun.
Tambahan pula, di media sosial, terdapat
juga banyak pihak tidak bertanggungjawab yang sedang berusaha menyebarkan berita
palsu dan sentimen kebencian.
Dalam pada itu juga, kita juga tidak boleh cepat menyebarkan sesuatu berita yang kita terima sebagaimana disebut oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis, Mafhumnya: “Cukuplah bagi seseorang itu digelar pendusta apabila menceritakan
semua yang didengarinya (tanpa tabayyun)” (Hadis riwayat Imam Muslim)
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Banyak isu yang berlaku sejak akhir-akhir ini menguji sikap kita sebagai orang beriman.
Berita-berita yang tersebar di media sosial juga perlu disaring dengan neraca akal dan
iman agar kita dapat bertindak mengikut piawaian syariat.
Bukan semua perkara perlu kita ulas lebih-lebih lagi yang bukan dalam bidang pengetahuan kita.
Serahkan sahaja kepada pihak yang berautoriti untuk mengendalikannya.
Kita juga faham bahawa integriti merupakan suatu perkara serius yang perlu diambil berat oleh semua lapisan masyarakat.
Tanpa integriti yang kukuh, segala amanah dan tanggungjawab yang sepatutnya ditunaikan akan terabai dan mengakibatkan kesusahan kepada orang lain.
Ingatlah pesan Rasulullah SAW dalam sebuah hadis, Mafhumnya; “Tidak beriman bagi orang yang tidak amanah dan tidak ada agama bagi orang yang tidak memegang janji.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)
Semua umat Islam, kita lebih bijak untuk menerima sesuatu berita. Selidiklah terlebih dahulu sebarang berita yang diterima.
Jangan pula kita cepat menghukum tanpa mengetahui asas kebenaran berita tersebut.
Kita berharap dan berdoa kepada Allah SWT, agar Allah SWT memudahkan segala
urusan kita, dan melimpahkan nikmat-Nya, menjauhkan segala bentuk musibah berupa wabak penyakit, bencana alam, kecuaian dan lain-lain perkara yang tidak diingini.
Tingkatkanlah integriti masing-masing dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab.
Jangan kerana ketamakan kita, pihak lain pula yang menjadi mangsa.
Firman Allah SWT bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah. -Malaysiapost
Gambar sekadar hiasan.

